Wednesday, January 30, 2013

Artikel tentang kenapa saya Yakin dan Percaya bahawa Panggilan “Jambatan Anak Malaysia” (J.A.M.) adalah Alkitabiah dan menurut Firman, Tujuan dan Idea Tuhan Allah sejak dulu lagi


Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah” (Wahyu 5:9).

Nyanyian penyembahan ini berlaku di syurga. Tuhan Allah telah memberikan rasul Yohanes wahyu dan pengelihatan tentang perkara yang (akan) berlaku di syurga. “Aku melihat sebuah gulungan naskhah di tangan kanan (Tuhan Allah) yang duduk di atas takhta... tetapi tidak seorang pun di syurga, atau di bumi, atau di bawah bumi, yang dapat membuka golongan naskhah itu dan membaca kandungannya” (Wahyu 5:1, 3). Oleh itu, Yohanes menangis tersedu-sedu. Tidak lama kemudian, salah seorang pemimpin di syurga itu berkata kepada Yohanes, “Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah materai itu dan membuka gulungan naskhah itu” (5:5). Pemimpin itu berkata tentang Yesus Kristus, Mesias, Anak Domba Allah yang telah menakhluki kematian dan telah bangkit semula. Yohanes telah melihat Yesus dan dia mendengar semua makhluk di syurga menyanyikan sebuah lagu baru (lihat 5:9-10).

Saya bertanya: Apa yang menyebabkan Yesus layak untuk membuka gulungan naskhah itu? Firman Allah menjawab, “kerana Engkau [Yesus] telah dibunuh [disembelih seperti anak domba dalam Perjanjian Lama] dan dengan darah [Yesus] Dia telah membeli [atau menebus] manusia bagi Allah”. Saya bertanya lagi: Untuk siapa Dia sanggup mengorbankan diri-Nya? Firman-Nya tertulis, untuk “[dosa] manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa”.

Tuhan Yesus telah mati bagi dosa semua manusia di dunia ini. Perbuatan dosa tidak terhad kepada sesiapapun – SEMUA manusia berbuat dosa. Oleh itu, semua orang tidak kira apa suku bangsa sekalipun atau  dimana sahaja mereka berada memerlukan penyelamatan daripada murka Allah. Yesus telah mati dan bangkit semula bagi semua orang. Dia pernah berkata, “Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku” (Yohanes 12:32).
Ini ialah salah satu tujuan utama Yesus datang. Memang benar Yesus telah dilahirkan sebagai seorang Yahudi, memang benar agama Kristian berkembang daripada negara Israel (tidak benar bahawa agama Kristian itu berasal daripada negara Barat, Amerika Syarikat. Tidak tahu sejarah dunia ka?)... namun begitu, skop penyelamatan yang dilakukan oleh Yesus dan rencana Tuhan Allah bagi penebusan ini adalah secara global.

Al-Kitab menyatakan bahawa, di Perjanjian Lama: “Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia. TUHAN itu raja dan Dia memerintah semua bangsa” (Mazmur 22:28-29). “Semoga semua bangsa memuji Engkau!” (Mazmur 67:4). Di Perjanjian Baru, Yesus sendiri berkata: “Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga. Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem” (Lukas 24:46-47). “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku” (Matius 28:19). Rasul Paulus menulis: “Hal itu [Penyelamatan] berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi [kita semua!]. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, ‘Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan’” (Roma 10:12-13).
..........................................
Sekarang mari kita lihat kepada soalan utama bagi tajuk artikel ini: Kenapa saya yakin dan percaya secara intelektual dan rohani bahawa mesej utama “Jambatan Anak Malaysia” (J.A.M.) iaitu memanggil semua umat Kristian menjadi agen pendamaian kepada semua kaum dan menjadi agen transfomasi negara adalah Alkitabiah dan menurut Firman-Nya, Tujuan-Nya dan Idea-Nya sejak dulu lagi? Secara ringkas saya menjawab: kerana Yesus sendiri telah dahulu melakukannya. Tujuan Yesus datang adalah supaya semua manusia yang percaya kepada-Nya (Yohanes 3:16) tidak kira dari suku, bahasa, negara dan bangsa apa sekalipun  datang untuk bersukacita memuliakan-Nya dan  menyembah-Nya selamanya.

Perdamaian kaum yang sebenar hanya dapat dicapai apabila Kristus menjadi yang Utama dalam hidup penyembahan semua orang yang percaya. Melalui-Nya, semua kaum di Malaysia, khususnya, tidak kira kaum majoriti, cina, india, iban, kadazan, orang asli, murut, bidayuh dan sebagainya dapat bersatu dalam kasih dalam satu Kristus (bayangkan semua bangsa dari pelbagai negara di dunia ini berada di syurga menyembah Allah seperti yang tertulis di dalam Wahyu 5:9 berlaku di depan mata kamu!). Kesan daripada kesatuan iman di dalam Kristus dari pelbagai kaum dan bangsa ini – secara tidak langsung akan menampakkan buahnya kepada transformasi negara.

J.A.M. bukanlah satu revolusi pencetus semangat sentimen perkauman; J.A.M. ialah satu panggilan kepada semua orang Kristian di Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa untuk menjadi agen pendamaian sesama sendiri dan juga menjadi ‘garam dan terang’ bagi orang lain yang belum mengenal Yesus Kristus.

J.A.M. bukanlah satu impian atau cita-cita supaya negara Malaysia akan menjadi negara Kristian (Bukankah semuanya adalah milik Yesus?); J.A.M. ialah seruan bagi semua orang Kristian di Malaysia untuk mencintai kedamaian, menghargai keharmoni dan semangat muhibah antara satu sama lain dan hidup berdasarkan Firman Tuhan agar di mana sahaja kita berada  – nama Yesus dipermuliakan.

J.A.M. bukanlah satu matlamat milik individu; J.A.M. ialah cara hidup yang berteraskan kepada Yesus Kristus, Mesias kita, yang telah memberikan kita Roh Kudus, Roh-Nya untuk hidup di dalam kita supaya bersatu kita memecahkan tembok yang menghalang kita daripada melihat kebenaran yang selama ini telah dibutakan oleh dosa kita dan dosa nenek moyang kita – dan bersatu membina jambatan untuk menghubungkan kita orang Kristian kepada sesama sendiri dan orang lain dan semuanya kepada Tuhan Allah melalui kasih Kristus.

Namun begitu, J.A.M., pada pendapat saya, tidak akan mencapai matlamat dengan sempurna dan secara keseluruhan. J.A.M. ialah satu perubahan secara kecil-kecilan dan pasti akan ada banyak cabaran yang akan datang. Ia ialah (hanya) gambaran, model kecil yang  pada akhirnya akan disempurnakan oleh Yesus sendiri semasa pemerintahan Kerajaan-Nya di Bumi baru dan Syurga baru kelak  – dan ia akan merangkumi semua bangsa dan negara. Amen.

Inilah sebabnya saya percaya dan yakin kepada mesej ‘J.A.M.’ dan ingin melakukannya bersungguh-sungguh. Melalui kasih-kurnia Tuhan Allah, jadilah ‘Jambatan Anak Malaysia’! Mari kita ‘J.A.M.’!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

1 comment:

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]