Showing posts with label Putera Allah. Show all posts
Showing posts with label Putera Allah. Show all posts

Sunday, July 26, 2015

Yesus ialah Peribadi yang Hidup, Bukan Suatu Sistem Kepercayaan


Ikutlah Aku” (Matius 9:9).

Salah satu cubaan atau godaan yang paling bahaya bagi kita orang Kristian ialah mengalihkan pandangan kita dari keperibadian Yesus kepada perkara tentang Yesus seperti doktrin-Nya, umat-Nya, gereja-Nya, Firman-Nya atau misi-Nya. Ini ialah godaan yang paling bahaya kerana tidak salah untuk kita mengetahui dan melakukan perkara tentang Yesus. Malah, tanpa kita mengetahui semua perkara ini, kita tidak boleh menjadi pengikut-Nya yang baik dan setia. Semua perkara tentang Yesus adalah mustahak.

Apa yang sebenarnya menyebabkan ia paling bahaya ialah fokus kita (tanpa kita sedari) kepada semua ini – jika tidak diseimbangkan – akan mengakibatkan hubungan kita dengan Yesus secara peribadi akan terjejas. Jika kita terlalu fokus dengan perkara tentang Yesus, seperti ajaran-Nya, kita akan mudah hilang arah hidup sebagai pengikut Kristus, mempelajari Alkitab semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan bagi tujuan akedemi, menjadi guru Alkitab yang mementingkan luaran seperti orang Farisi yang mengajar dan mengikut Hukum Taurat Allah. Atau, jika kita terlampau fokus dengan misi-Nya, ialah boleh menjadi suatu perkara peribadi untuk tujuan peribadi bagi kejayaan peribadi. Kita seperti sangat bersemangat dan berkobar-kobar untuk melakukan kehendak-Nya tanpa ada hubungan peribadi dengan Yesus dan Roh-Nya dalam kita melakukan kehendak-Nya.

Inilah sebabnya Yesus tidak memanggil pengikut-pengikut-Nya, “Ikutlah ajaran-Ku,” atau “Ikutlah teladan-Ku,” atau, “Ikutlah misi-Ku,” atau “Ikutlah pemikiran-Ku.” Setiap kali apabila Yesus memanggil kita, ia melibatkan hubungan peribadi. Yesus berkata, “Ikutlah Aku.”Aku” bukan ajaran-Nya, bukan teladan-Nya, bukan misi-Nya, bukan pemikiran-Nya (walaupun semua ini sangat penting dan sangat Alkitabiah), tetapi – “Ikutlah Aku.” Terlalu kerap kita menjadikan hidup dan iman Kristian kita berpusat kepada apa yang boleh kita lakukan kepada Yesus. Tetapi Yesus tidak mengutamakan semua itu, yang paling utama ialah – hubungan peribadi kita dengan-Nya. Bukan perbuatan. Bukan keagamaan. Bukan perkara tentang Yesus.

Walau betapa penting dan sungguh digalakkan bagi kita untuk mengetahui perkara tentang Yesus (seperti dokrin dan teologi Kristian), kita tidak harus menjadikan semua itu sebagai teras bagi iman kita. Semua perkara tentang Yesus seharusnya datang dari hubungan kita dengan Tuhan Yesus. Yesus bukan suatu sistem kepercayaan. Yesus ialah Peribadi yang hidup. Dia ialah TUHAN. Ini harus menjadi keutamaan kita dahulu. Mengkaji Alkitab tentang Yesus dan melakukannya setiap hari tidak cukup. Hubungan peribadi diantara kita dan Yesus harus terjadi dahulu. Inilah yang paling utama. Oleh sebab itu, Yesus mengurniakan Roh Kudus untuk tinggal bersama kita dan di dalam kita. Sebagai pengikut Kristus pastikan bahawa kamu mempunyai hubungan dengan Yesus Kristus yang hidup. “Ikutlah Yesus.”

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Thursday, May 14, 2015

Jesus, Enti Nuan Deka


Lebuh Jesus nurun ari bukit nya, mayuh amat orang nitihka Iya. Siku lelaki ke sakit lan datai ngagai Iya, besugang di mua Iya, lalu bejaku, ‘Tuhan, enti Nuan deka, Nuan ulih ngasuh aku tuchi.’ Jesus ngunjurka jari, negu orang nya, lalu bejaku, ‘Aku deka. Tuchi meh nuan.’ Orang nya lalu gerai tekala nya. Lalu ku Jesus bejaku ngagai iya, ‘Anang madahka tu ngagai orang, tang mansang nuan ngagai imam, minta iya meresa nuan, lalu beri piring ti diasuh Moses, kena mandangka ngagai orang mayuh, nuan udah gerai.’” 
(Matthew 8:1-4, Bup Kudus Baru)

Orang lelaki ke sakit lan tu meh tik amat sinu: nadai orang peduli ka iya, idup sunyi ngau nadai pangan bukai. Tang nadai orang tik amat sinu ngau amat tusah tik ulih ngaga kitai jauh ari Tuhan. Ngau Tuhan Jesus, kitai bisi pengarap. Lelaki ke sakit lan tu datai, bersugang lalu bejaku – “enti Nuan deka” – disaut Jesus enggau jaku tik lantang ngau ati ti deka nyelamat ka ia: “Aku deka.”

Besampi kitai: Aku deka dituchi Nuan, Tuhan Jesus, sama sebaka lelaki ke sakit lan nya. Tapi nitih ka cara Nuan, ka peneka Nuan. Aku deka pengidup aku diubah Nuan ukai nitihka peneka aku empu tang nitihka pengasih ngau pengerindu Nuan. Amen.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Monday, May 11, 2015

Yesus mendakwa Diri sebagai TUHAN

Yesus mengampuni seorang perempuan pendosa. Gambar hiasan saja ba.
Bapa dan Aku satu” (Yohanes 10:30, BM).

[Baca Yohanes 10:22-33 sebagai konteks ayat]. “Yesus tidak pernah mendakwa dirinya TUHAN.” Itulah ayat yang selalu digunakan oleh orang yang tidak percaya dengan kepercayaan orang Kristian tentang keilahian Yesus. Tetapi kenyataan ini merupakan kenyataan yang mudah disangkal kerana melalui pengajian Alkitab, terutama sekali melalui Kitab-Kitab Injil, Yesus memang mengakui bahawa dia Tuhan. Benar, dia tidak pernah berkata, “Saya Tuhan,” tetapi dia memang sangat jelas mendakwa diri-Nya Tuhan. Ayat diatas, “Bapa dan Aku satu”, contohnya, merupakan kenyataan yang jelas walaupun ada yang memutar-belitkan kenyataan ini. “Dia hanya menganggap dirinya mempunyai hubungan dengan Bapa, bukan sama seperti Bapa,” kata mereka. Tetapi (konteks ayat) orang Yahudi yang mendengar Yesus berkata begitu beranggapan sebaliknya. Mereka dengan jelas faham bahawa Yesus sedang menyamakan dirinya dengan Allah Bapa. Oleh itu mereka ingin merejam Yesus dengan batu dan berkata, “Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!” (Yohanes 10:33). Jadi, Yesus memang mendakwa dirinya Tuhan.

Setiap kali Yesus mengampuni dosa, setiap kali orang menyembah dia tanpa halangan, setiap kali dia berkata, “Akulah…”, dia mendakwa dirinya Tuhan. Tidak mungkin ada orang yang keliru sekiranya mereka memahami konteks ayat apabila mereka membaca Kitab Injil tentang Yesus. Tidak ada orang semasa zaman Yesus yang memahami Alkitab orang Yahudi berani mendakwa dirinya boleh mengampuni dosa orang terhadap TUHAN. Tetapi Yesus berani. “Dosamu sudah diampunkan” (Matius 9:2-3; Markus 2:7; Lukas 5:21). Tidak ada orang yang beriman membenarkan orang berlutut dan menyembahnya atau menbiarkan orang berkata kepadanya, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28). Tetapi Yesus kerap kali berbuat begitu (Matius 14:33; 28:9, 17; Lukas 24:52; Yohanes 9:38). Tidak ada orang yang berani menggunakan nama TUHAN yang suci untuk dirinya sendiri [Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU!” (Keluaran 3:14), Yahweh]. Tetapi Yesus selalu berkata begitu, contohnya, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, AKU sudah ada” (Yohanes 8:58). Cubaan untuk merejam Yesus kerana mengufuri Allah seringkali berlaku juga. Orang Yahudi dan musuh-musuhnya faham benar tentang setiap kenyataan Yesus tentang dirinya.

Fikirkan: Lain kali apabila ada orang yang mengatakan kepada kamu bahawa “Yesus tidak pernah mendakwa dirinya TUHAN” – jangan layan mereka. Atau jika kamu yakin, ajar mereka. Dan apabila kamu membaca Alkitab, jangan baca sambil lewa. Ingatkan diri kamu bahawa Yesus bukan hanya memberi nasihat yang baik atau menganggap bahawa dia hanya seorang guru rohani yang hebat, Dia ialah Anak Allah yang setara dengan TUHAN. Firman-Nya ialah Firman Allah. Yesus ialah TUHAN yang menjelma sebagai manusia. “[Yesus] datang sebagai manusia, dan hidup sebagai manusia” (Filipi 2:7). Yesus datang untuk kamu dan saya. Inilah TUHAN kita!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.



Best Blogger Tips

Sunday, March 22, 2015

Isa al-Masih ialah Pembela Kita (Renungan tentang 1 Yahya 2:1-2)

Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. Dialah korban perdamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia
(1 Yahya 2:1-2, Kitab Suci Zabur dan Injil, KSZI)

Seperti renungan-renungan Firman Allah sebelumnya (sila klik, Renungan tentang Surat Pertama Rasul Yahya), saya menerangkan yang Rasul Yahya sebenarnya menulis surat ini kepada umat-umat Allah yang sudah percaya kepada Isa al-Masih, bukan kepada semua orang di dunia. Jadi, surat ini ialah khusus bagi orang Kristian.

Kita orang Kristian patut sedar bahawa menjadi pengikut Isa tidak semesti kita tidak akan berbuat dosa lagi. Kita perlu meninggalkan dosa yang lama dan hari demi hari kita harus melawan percubaan dan keinginan diri melalui kuasa Roh Allah yang ada bersama kita. Tetapi ada masanya kita akan jatuh dan berbuat dosa lagi. Di sini Rasul Yahya menulis bahawa orang Kristian yang benar akan mengakui dosa dia dan TUHAN pasti akan mengampuninya. Bagaimana ini boleh terjadi? Murka Allah terhadap semua dosa kita sudah diselesaikan oleh Isa al-Masih melalui darah-Nya yang menyucikan kita daripada segala dosa (1 Yahya 1:7).

Isa al-Masih ialah Pembela kita. Apakah yang dimaksudkan dengan “Pembela”? Bayangkan kita berada di mahkamah. Rasul Yahya seperti mengatakan bahawa jika kita dituduh bersalah dihadapan Allah Bapa, kita ada peguam bela yang akan mewakili kita. Isa al-Masih, Putera Allah yang duduk bersama Allah Bapa akan ‘masuk campur’ dan membela kita dari segala tuduhan Iblis kepada kita. Walaupun Iblis telah menuduh kita “siang dan malam di hadapan Allah TUHAN” (Wahyu 12:10, KSZI), Isa akan menjadi Pembela bagi kita. Kematian Isa al-Masih di kayu salib telah menjadi “korban perdamaian bagi dosa kita” (1 Yahya 2:2). Allah itu adil, maka dosa harus dihukum. Allah itu juga kasih, maka Dia mengutus Putera-Nya untuk mati bagi kita. Isa ingin dan sanggup mati bagi kita. Oleh itu, jika kita berbuat dosa, dan kita terus mengakui dosa kita, Allah pasti akan mengampuni kita! Inilah kebaikan dan kasih kurnia Allah.

Ingat, sebagai seorang Kristian, kita pasti akan melakukan dosa lagi walaupun selepas kita bertaubat. Jangan jadikan ia kebiasaan dan jangan juga mudah putus asa. Apapun terjadi, Isa al-Masih akan tetap menjadi Pembela kita. Seorang Kristian yang benar bukanlah seorang yang sempurna dan tidak berbuat dosa lagi, tetapi seorang yang sentiasa akan mengakui dosanya di hadapan Allah. Pengakuan dosa sepatutnya menjadi rutin orang Kristian. Ini tidak bermaksud kita sering berfikiran negatif. Ini bermaksud kita ialah anak-anak Allah dan kita sebenarnya “mempunyai fikiran al-Masih” (1 Korintus 2:16).

Bagi kamu yang belum mengenal dan menerima Isa al-Masih sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu
Adakah kamu juga mahu Isa menjadi Pembela kamu?
Atau kamu boleh membela diri sendiri di hadirat Allah Bapa yang Maha Adil dan Suci?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Tuesday, February 24, 2015

Allah itu Bukan Pendusta (Renungan tentang 1 Yahya 1:10)


Orang yang tidak mahu mengakui dosa mereka, tidak kira samada mereka mengatakan bahawa diri mereka orang Kristian, ialah bukan pengikut Isa yang sebenar. Oleh itu, Rasul Yahya menulis: “Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan Firman-Nya tiada di dalam diri kita” (1 Yahya 1:10, Kitab Suci Zabur dan Injil, KSZI)

Orang yang tidak mahu mengakui dosa mereka mungkin sangat jelas melihat dosa orang lain dan mereka mungkin sangat marah dengan keruntuhan moral dalam masyarakat yang berlaku disekeliling mereka, tetapi mereka cukup ‘buta’ untuk melihat keadaan rohani dan dosa mereka sendiri. Selagi mereka mengatakan dalam hati (mungkin mulut mereka berkata “Saya pendosa”) bahawa mereka “tidak pernah berdosa,” selagi itu mereka tidak mendapat pengampunan dari Allah.

Apa yang lebih teruk dari itu ialah, apabila mereka berkata, “Saya tidak pernah berbuat dosa,” mereka menuduh “Allah itu pendusta.” Kenapa? Kerana Allah itu benar Dia tidak pernah menipu; kerana Allah itu kudus Dia tidak tahan dengan dosa; kerana Allah itu cahaya Dia tidak pernah menyembunyikan kebenaran; dan kebenaran itu ialah – kita semua pendosa. Jika Allah yang Maha Tahu mengatakan bahawa kita berdosa, dan jika kita menyangkal-Nya dengan berkata “kita tidak pernah berdosa” maka kita “menuduh Allah itu pendusta.” Jika ada dua pendapat yang sangat berbeza, maka hanya salah satu adalah benar.

Ramai diantara kita menilai diri sendiri secara luaran. Kita menilai kerohanian kita berdasarkan aktiviti agama yang kita lakukan seperti berapa kerap kita pergi ke gereja, disiplin membaca Alkitab, berdoa dan berpuasa dan melakukan kebaikan. Kita lebih memberi perhatian tentang bagaimana pendapat dan fikiran orang lain terhadap kita tetapi kita jarang tergerak hati untuk mengakui dosa kita dan peduli tentang TUHAN. Saya selalu melihat orang menangis semasa di kem dan kebaktian di gereja (malah di televisyen siaran sudut agama) kerana dosa mereka, tetapi selepas itu kebanyakkan daripada mereka kembali sama saja. Kenapa? Mereka, saya berpendapat, menangis kerana kesan dosa itu terhadap mereka, tetapi bukan kerana menyesal atas dosa yang dilakukan terhadap Allah. Bagi orang kita kelihatan sangat rohani… bagaimana dengan TUHAN?

Semua orang pernah berbuat dosa dan orang Kristian tidak terkecuali dari hal ini. Apa yang membezakan kita dengan agama yang lain ialah kita dibersihkan dari dosa bukan disebabkan oleh kebaikkan atau usaha kita sendiri. Kita dibenarkan dihadapan Allah kerana Putera-Nya, Isa al-Masih telah mati bagi dosa kita. Oleh itu, Rasul Yahya berkata lagi, “Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia” (1 Yahya 2:1-2, KSZI).

Allah itu bukan pendusta,
Akuilah dosa kamu terhadap-Nya dan kepada-Nya,
dan Dia akan mengampuni dan menyucikan kita.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Friday, January 30, 2015

Berjalan dalam Cahaya atau Kegelapan? (Renungan tentang 1 Yahya 1:6-7)


Sekiranya kita mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran
(1 Yahya 1:6, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Jika seseorang mengatakan bahawa dia seorang Kristian tetapi tidak melakukan apa-apa tentang dosanya, maka kata Rasul Yahya, dia seorang yang belum menerima keselamatan daripada Allah lagi. Dia tidak memiliki “keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih” (1:3). Dalam percakapan, mereka mendakwa bahawa mereka orang Kristian, tetapi sebenarnya mereka masih lagi hidup dalam kegelapan. Sekiranya mereka tidak mentaati Bapa dan ada lagi dosa yang tidak diakui, maka mereka masih lagi sesat. Oleh kerana mereka hidup dalam kegelapan, mereka tidak dapat melihat dosa mereka sendiri dan tidak sedar bahawa mereka sebenarnya jauh dari-Nya. Kegelapan telah membutakan mereka tentang realiti dan keadaan sebenar mereka.

Jika kita tidak berjalan dalam kebenaran dan cahaya Allah, maka ianya jelas menunjukkan yang kita sebenarnya belum percaya sepenuhnya kepada Isa al-Masih. Jika kesaksian dan kelakuan kita tidak sama dengan percakapan kita, maka pengakuan kita adalah dusta.

Mereka yang benar-benar telah diubah oleh Allah pula akan menunjukkan bukti tentang kebenaran itu dalam kehidupan mereka. Mereka berjalan dalam terang cahaya Allah (1:5) dan ini membolehkan mereka melihat dosa sendiri dihadapan-Nya. Kesedaran dan pengetahuan tentang dosa inilah yang membimbing mereka kepada Isa supaya Dia boleh menyucikan mereka daripada kegelapan. Rasul Yahya menulis: “Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain, dan darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa” (1 Yahya 1:7).

Berjalan dalam cahaya Allah bermaksud carahidup dan kekudusan keperibadian kita dipimpin oleh-Nya. Gambaran “berjalan” atau “melangkah” disini menujukkan bahawa ianya merupakan suatu proses yang mengambil masa. Ianya memberi gambaran tentang pergerakkan, tujuan, sikap dan pemikiran kita. Berjalan dalam cahaya Allah menggambarkan seseorang yang hidup dalam kebenaran dan kekudusan-Nya. Sentiasa dan konsisten. Saya tidak bermaksud bahawa kehidupan kita mesti sempurna, tetapi tujuan, keinginan dan hala tuju hati dan pemikiran kita harus tertumpu kepada Isa al-Masih.

Berjalan dalam cahaya maka kegelapan akan dinampakkan.
Dosa yang dilihat dan diketahui akan membawa kepada pengakuan.
Pengakuan dosa akan menerima pengampunan.
Darah Isa akan menyucikan kita daripada segala dosa.
Oleh itu, berjalanlah dalam cahaya, kebenaran dan kekudusan-Nya.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Saturday, January 24, 2015

Allah itu Cahaya (Renungan tentang 1 Yahya 1:5)

Simon Petrus, seorang nelayan
Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu:
Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya
(1 Yahya 1:5, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Rasul Yahya memulakan perutusannya dengan mengkhabarkan tentang kesucian Allah. Selagi kita tidak melihat kesempurnaan-Nya, kita tidak mungkin akan sedar tentang dosa kita. Gambaran bahawa “Allah itu cahaya” sangatlah mendalam maksudnya. Seperti cahaya, suci, sempurna dan tiada kegelapan, Allah itu suci, murni, sempurna dan tiada cacat cela. Oleh itu, kesucian Allah akan menjadi ukuran bagi Dia menghakimi setiap kita kelak. “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci” (Imamat 11:44, 1 Petrus 1:16) Dan Isa juga berkata, “Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga” (Matius 5:48). Hanya kerana Isa mati bagi dosa kita barulah kita sempurna dihadapan-Nya. Terima kasih Bapa!

Rasul Petrus yang dahulunya seorang nelayan pernah melihat (hanya) sebahagian daripada kesucian Allah ini di tasik Genesaret. Selepas semalaman tidak mendapat apa-apa tangkapan, Isa menyuruh dia menolak perahu ke air yang dalam dan menebarkan jalanya. Petrus pada mulanya memberi alasan dan kemudian berkata, “…tetapi, kerana Engkau menyuruh, aku akan menebarkan jala.” Setelah menebar jala, dia dan rakan-rakan kongsinya menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak. Mereka yang lain pun datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu mereka dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam. Kemudian, “apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, ‘Tinggalkan hamba, Ya Junjungan kerana hamba seorang yang berdosa!’” (Lukas 5:8). Petrus berlutut di hadapan Isa, Isa tidak menolak penyembahannya. Petrus berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!” (BM), Isa tidak menyangkal kata-katanya kerana ia benar.

Seperti nabi Yesaya yang melihat kemuliaan Allah berkata kepada dirinya, “Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga” (Yesaya 6:5, BM) – rasul Petrus juga sedar akan dosanya apabila berhadapan dengan kesucian Isa. Mukjizat yang dilakukan Isa sangatlah luar biasa. Nelayan yang berpengalaman seperti Petrus tidak mendapat seekor ikan pun, tetapi apabila seorang yang dikenali sebagai tukang kayu melakukan mukjizat – seperti Allah mengarahkan ikan-ikan masuk ke jala! – ini bukanlah seorang yang biasa-biasa, Dia ialah Tuhan. Kesucian Isa al-Masih memancar seperti cahaya dan segala dosa-dosa kegelapan Petrus dinampakkan dihadapan-Nya. “Allah itu cahaya,” oleh itu dia berkata “Hamba seorang berdosa.”

Apabila kita datang kepada Isa al-Masih, berhadapan dengan Dia, kita juga akan melihat dosa-dosa kita dengan jelas sekali. Adalah penting bagi kita sedar dahulu bahawa “Allah itu cahaya” kerana apabila kita tahu bahawa Allah itu suci dan kita berdosa, kita takut akan Dia. Kemudian apabila kita mengenal Dia secara peribadi, kita sedar juga bahawa “Allah itu kasih” (1 Yahya 4:8). Jadi hubungan kita dengan Bapa dan Isa al-Masih adalah hubungan kasih dan hormat akan kesucian-Nya. Rasul Yahya menulis tentang Isa: “Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah” (Yahya 3:19-21).

Inilah sebabnya kenapa orang membenci dan mengasihi Isa.
Allah itu cahaya” jadi kegelapan membenci-Nya.
Allah itu cahaya” jadi orang yang mencari kebenaran akan menjumpai dan mengasihi-Nya.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Tuesday, January 20, 2015

Isa al-Masih ialah Firman yang menjadi Manusia (Renungan tentang 1 Yahya 1:1)

Rasul Yahya benar-benar pernah mendengar, melihat, menyentuh Isa. Oleh itu, dia menulis dan bersaksi.
Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat,
dan yang telah kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup
(1 Yahya 1:1, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Lebih kurang dua ribu tahun dahulu, Yang Kekal telah menjadi manusia dan dilahirkan oleh seorang dara (Lukas 1:35). Misteri yang tidak mungkin kita dapat ungkapkan dengan kata-kata. Tuhan datang sebagai manusia; Tuhan sepenuhnya, dan manusia sepenuhnya. Dia Tuhan seperti Dia bukan manusia; Dia mempunyai darah daging seperti Dia ialah bukan Tuhan. Akal fikiran kita tidak dapat memikirkannya, “Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran” (Yahya 1:14).

Surat Yahya yang pertama (1 Yahya) ditulis untuk menyangkal pemahaman ajaran sesat pada masa itu yang mengatakan bahawa Isa al-Masih, Putera Allah, tidak mungkin telah menjadi manusia. Oleh itu rasul Yahya menulis: “yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami beritakan” – Isa benar-benar ialah manusia! Dengan telinga mereka, rasul Yahya dan pengikut-pengikut yang lain telah mendengar Isa berfirman. Dengan mata mereka, Yahya dan yang lain telah melihat kehidupan Isa yang sempurna, kematian Isa di kayu salib, dan kebangkitan Isa dari kematian. Dengan minda dan fikiran mereka, mereka telah mendalami keperibadian Isa, mengkaji kehidupannya dan memikirkan dakwaan-dakwaan Isa. Dengan tangan mereka sendiri, mereka telah menyentuh dia. Bukan sebagai roh atau ilusi seperti yang digambarkan oleh guru-guru agama sesat, tetapi sebagai manusia yang sejati. Tetapi bukan sekadar manusia biasa, Isa ialah Putera Allah, Tuhan-manusia.

Ini bukan kepercayaan yang diberitakan dari pihak ke-dua, tetapi kepercayaan yang datang melalui pengalaman peribadi. Yahya dan mereka yang lain benar-benar pernah tinggal bersama Isa lebih kurang tiga tahun lamanya. Ianya bukan kerana mereka mengenal Isa secara fisikal yang mengubah kehidupan mereka, tetapi hubungan rohani dengan Isa yang telah mengubah kehidupan mereka. Mereka bukan hanya kenal Isa, mereka mengenali Isa! Mereka menyerahkan hidup mereka kepada Isa al-Masih dengan iman sebagai Junjungan Yang Esa dan Penyelamat. Isa benar-benar adalah Hidup mereka.

Rasul Yahya mengenal Isa secara peribadi kerana dia telah “dilahirkan semula” (Yahya 3:3) secara rohani. Inilah pengalaman sukacita yang Yahya ingin kita rasai dan alami sendiri di dalam Isa al-Masih. Dengan percaya dan beriman kepada Isa, kita juga boleh mengenal dia dan beroleh hidup kekal! Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]