Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Monday, March 23, 2015

Orang Muda, Jangan Takut akan Sesama Manusia (Renungan tentang Yeremia 1:4-10)


TUHAN berfirman kepadaku [Yeremia], ‘Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, dan sebelum engkau dilahirkan, Aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.’ Aku menjawab, ‘Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda.’ Tetapi TUHAN menjawab, ‘Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!’ Kemudian TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulutku dan berfirman, ‘Dengarlah, Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan. Pada hari ini Aku memberi engkau kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya” (Yeremia 1:4-10, BM).

TUHAN berfirman terus kepada Yeremia. Yeremia dipilih sebagai nabi khas bagi umat Israel. Yeremia ada misi khas dari TUHAN. Oleh itu, apa yang dijanjikan kepada nabi Yeremia (seperti “kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya”) tidak semesti apa yang dijanjikan oleh TUHAN kepada kita. Tetapi Firman-Nya; “Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu” harus menjadi dorongan dan kekuatan bagi setiap kita yang ingin mentaati-Nya dan melayani orang disekeliling kita.

Kita sebagai orang-orang muda seperti nabi Yeremia yang ingin mentaati TUHAN dan melayani orang lain pasti akan melalui banyak rintangan terutama sekali tentangan dan penolokkan daripada orang lain. Kita takut apabila kita tidak diterima. Saya sendiri kadang-kadang terfikir kalau-kalau ada orang yang tidak berpuas hati terhadap saya. Mungkin ada yang tidak suka dengan cara dan bagaimana saya melakukan sesuatu. Ada yang tidak setuju dan akan ada yang tersinggung. Saya sendiri juga mungkin ada melakukan kesilapan atau tersalah cakap dan mendapat kritikkan yang negatif. Takut akan sesama manusia adalah faktor utama yang menghalang kita dalam pelayanan bagi TUHAN.

Jadi TUHAN berfirman, “Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu.” Hadirat dan penyertaan-Nya lebih berharga dan penting daripada apa yang orang lain katakan tentang kita. TUHAN akan menyertai dan melindungi kita semasa dan melalui masalah yang kita akan alami kerana Nama-Nya. Melalui Yesus Kristus, janji yang sama juga sudah diberikan kepada kita sekarang; “Allah sudah berfirman, ‘Aku tidak akan membiarkan kamu, Aku tidak akan meninggalkan kamu.’ Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, ‘Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?’” (Ibrani 13:5-6); dan “Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?” (Roma 8:31).

Jadi, TUHAN berfirman kepada nabi Yeremia dan juga kepada kita orang-orang muda sekarang yang telah dipanggil oleh-Nya untuk mentaati dan melayani orang lain, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda... Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu.” Kerana TUHAN yang kita ada ialah Tuhan yang tidak akan meninggalkan kita. Kerana Dia telah memilih dan mempunyai rencana yang indah dalam kehidupan kita. Kerana Roh-Nya akan memimpin setiap pergerakkan dan percakapan kita. Kerana TUHAN sendiri akan bersama kita semasa kita mengalami tentangan atau penolakkan. Jangan takut. Jangan takut. Jangan takut.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, March 22, 2015

Isa al-Masih ialah Pembela Kita (Renungan tentang 1 Yahya 2:1-2)

Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. Dialah korban perdamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia
(1 Yahya 2:1-2, Kitab Suci Zabur dan Injil, KSZI)

Seperti renungan-renungan Firman Allah sebelumnya (sila klik, Renungan tentang Surat Pertama Rasul Yahya), saya menerangkan yang Rasul Yahya sebenarnya menulis surat ini kepada umat-umat Allah yang sudah percaya kepada Isa al-Masih, bukan kepada semua orang di dunia. Jadi, surat ini ialah khusus bagi orang Kristian.

Kita orang Kristian patut sedar bahawa menjadi pengikut Isa tidak semesti kita tidak akan berbuat dosa lagi. Kita perlu meninggalkan dosa yang lama dan hari demi hari kita harus melawan percubaan dan keinginan diri melalui kuasa Roh Allah yang ada bersama kita. Tetapi ada masanya kita akan jatuh dan berbuat dosa lagi. Di sini Rasul Yahya menulis bahawa orang Kristian yang benar akan mengakui dosa dia dan TUHAN pasti akan mengampuninya. Bagaimana ini boleh terjadi? Murka Allah terhadap semua dosa kita sudah diselesaikan oleh Isa al-Masih melalui darah-Nya yang menyucikan kita daripada segala dosa (1 Yahya 1:7).

Isa al-Masih ialah Pembela kita. Apakah yang dimaksudkan dengan “Pembela”? Bayangkan kita berada di mahkamah. Rasul Yahya seperti mengatakan bahawa jika kita dituduh bersalah dihadapan Allah Bapa, kita ada peguam bela yang akan mewakili kita. Isa al-Masih, Putera Allah yang duduk bersama Allah Bapa akan ‘masuk campur’ dan membela kita dari segala tuduhan Iblis kepada kita. Walaupun Iblis telah menuduh kita “siang dan malam di hadapan Allah TUHAN” (Wahyu 12:10, KSZI), Isa akan menjadi Pembela bagi kita. Kematian Isa al-Masih di kayu salib telah menjadi “korban perdamaian bagi dosa kita” (1 Yahya 2:2). Allah itu adil, maka dosa harus dihukum. Allah itu juga kasih, maka Dia mengutus Putera-Nya untuk mati bagi kita. Isa ingin dan sanggup mati bagi kita. Oleh itu, jika kita berbuat dosa, dan kita terus mengakui dosa kita, Allah pasti akan mengampuni kita! Inilah kebaikan dan kasih kurnia Allah.

Ingat, sebagai seorang Kristian, kita pasti akan melakukan dosa lagi walaupun selepas kita bertaubat. Jangan jadikan ia kebiasaan dan jangan juga mudah putus asa. Apapun terjadi, Isa al-Masih akan tetap menjadi Pembela kita. Seorang Kristian yang benar bukanlah seorang yang sempurna dan tidak berbuat dosa lagi, tetapi seorang yang sentiasa akan mengakui dosanya di hadapan Allah. Pengakuan dosa sepatutnya menjadi rutin orang Kristian. Ini tidak bermaksud kita sering berfikiran negatif. Ini bermaksud kita ialah anak-anak Allah dan kita sebenarnya “mempunyai fikiran al-Masih” (1 Korintus 2:16).

Bagi kamu yang belum mengenal dan menerima Isa al-Masih sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu
Adakah kamu juga mahu Isa menjadi Pembela kamu?
Atau kamu boleh membela diri sendiri di hadirat Allah Bapa yang Maha Adil dan Suci?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Tuesday, January 20, 2015

Isa al-Masih ialah Firman yang menjadi Manusia (Renungan tentang 1 Yahya 1:1)

Rasul Yahya benar-benar pernah mendengar, melihat, menyentuh Isa. Oleh itu, dia menulis dan bersaksi.
Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat,
dan yang telah kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup
(1 Yahya 1:1, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Lebih kurang dua ribu tahun dahulu, Yang Kekal telah menjadi manusia dan dilahirkan oleh seorang dara (Lukas 1:35). Misteri yang tidak mungkin kita dapat ungkapkan dengan kata-kata. Tuhan datang sebagai manusia; Tuhan sepenuhnya, dan manusia sepenuhnya. Dia Tuhan seperti Dia bukan manusia; Dia mempunyai darah daging seperti Dia ialah bukan Tuhan. Akal fikiran kita tidak dapat memikirkannya, “Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran” (Yahya 1:14).

Surat Yahya yang pertama (1 Yahya) ditulis untuk menyangkal pemahaman ajaran sesat pada masa itu yang mengatakan bahawa Isa al-Masih, Putera Allah, tidak mungkin telah menjadi manusia. Oleh itu rasul Yahya menulis: “yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami beritakan” – Isa benar-benar ialah manusia! Dengan telinga mereka, rasul Yahya dan pengikut-pengikut yang lain telah mendengar Isa berfirman. Dengan mata mereka, Yahya dan yang lain telah melihat kehidupan Isa yang sempurna, kematian Isa di kayu salib, dan kebangkitan Isa dari kematian. Dengan minda dan fikiran mereka, mereka telah mendalami keperibadian Isa, mengkaji kehidupannya dan memikirkan dakwaan-dakwaan Isa. Dengan tangan mereka sendiri, mereka telah menyentuh dia. Bukan sebagai roh atau ilusi seperti yang digambarkan oleh guru-guru agama sesat, tetapi sebagai manusia yang sejati. Tetapi bukan sekadar manusia biasa, Isa ialah Putera Allah, Tuhan-manusia.

Ini bukan kepercayaan yang diberitakan dari pihak ke-dua, tetapi kepercayaan yang datang melalui pengalaman peribadi. Yahya dan mereka yang lain benar-benar pernah tinggal bersama Isa lebih kurang tiga tahun lamanya. Ianya bukan kerana mereka mengenal Isa secara fisikal yang mengubah kehidupan mereka, tetapi hubungan rohani dengan Isa yang telah mengubah kehidupan mereka. Mereka bukan hanya kenal Isa, mereka mengenali Isa! Mereka menyerahkan hidup mereka kepada Isa al-Masih dengan iman sebagai Junjungan Yang Esa dan Penyelamat. Isa benar-benar adalah Hidup mereka.

Rasul Yahya mengenal Isa secara peribadi kerana dia telah “dilahirkan semula” (Yahya 3:3) secara rohani. Inilah pengalaman sukacita yang Yahya ingin kita rasai dan alami sendiri di dalam Isa al-Masih. Dengan percaya dan beriman kepada Isa, kita juga boleh mengenal dia dan beroleh hidup kekal! Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, November 5, 2014

TUHAN Menggerakkan Hati Umat-Nya: Perubahan Rohani vs. Tindakkan Praktikal (Refleksi tentang Kitab Ezra 1:5-11)


“[Tiap-tiap] orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN. Semua jiran mereka turut membantu dengan memberikan barangan yang diperlukan: perkakas perak, emas, bekalan untuk perjalanan, binatang untuk mengangkut barangan, harta benda yang lain, serta persembahan untuk Rumah TUHAN. Raja Kores mengembalikan semua mangkuk dan cawan yang dahulunya dipakai di Rumah TUHAN di Yerusalem… Kemudian Mitredat, ketua perbendaharaan kerajaan membuat senarai perkakas itu bagi Sesbazar, gabenor negeri Yehuda… Kesemua barang itu ini dibawa oleh Sesbazar dari Babilonia ke Yerusalem, bersama dengan orang buangan yang lain” (Ezra 1:5-11, BM).

Untuk memahami latar belakang Firman ini, baca Ezra 1:1-5 (atau KLIK DI SINI). Sesbazar telah dilantik sebagai gabenor pertama negeri Yehuda oleh Raja Kores untuk memimpin orang bangsa Yehuda kembali ke Yerusalem. Sesbazar ialah orang yang bertanggungjawab untuk membawa perkakas-perkakas milik Rumah TUHAN ke tempat asalnya dan dia “meletakkan asas Rumah TUHAN” (Ezra 5:16) di Yerusalem. Hanya kemudian barulah Ezra (penulis kitab ini) dan orang Yehuda yang lain datang untuk menyambung kerja, membaik pulih dan membina semula Rumah TUHAN.

Bayangkan bagaimana mereka bersiap untuk pergi. “Tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah” bersiap untuk melakukan tugasan yang diberi, mengalami pengalaman atau situasi yang baru dan bersedia untuk kembali ke Yerusalem. Wang, harta benda yang berharga dan binatang-binatang periharaan adalah sama pentingnya dengan persiapan hati untuk mentaati panggilan dan Firman TUHAN. Dia telah “menggerakkan hati raja” (Ezra 1:1), dan tidak mustahil Dia juga akan menggerakkan hati umat-Nya. Dia melakukan inisiatif. Tetapi harus diketahui juga bahawa setiap umat-Nya mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan tertentu dalam membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem. Ada diantara mereka memberi bantuan bagi tujuan pembinaan dan ada juga yang membantu sanak saudara dan jiran-jiran yang ingin kembali semula.

Satu perkara yang saya pelajari melalui Firman ini ialah, untuk melakukan pekerjaan TUHAN, adalah penting bagi kita untuk memastikan bahawa secara rohani kita didorong oleh TUHAN, dan secara praktikal, kita harus dilengkapi untuk melakukannya. Apabila TUHAN telah “menggerakkan hati” umat-Nya untuk melakukan sesuatu, ianya akan bermula dari pemikiran, hati dan roh kita dan ia juga akan melibatkan masa, tenaga, kebolehan dan harta (atau wang). Ianya melibatkan kerohanian diri kita dan juga tindakkan luaran secara praktikal. Iman dan perbuatan. Tidak seperti kita menonton perlawanan bola sepak di stadium dimana hanya 22 pemain akan berusaha keras untuk menjaringkan gol sementara beribu-ribu penonton di stadium hanya duduk dan berdiri memberi nasihat, menjerit dan mengkritik sahaja; kita yang percaya kepada TUHAN Allah harus melibatkan diri secara praktikal dan juga secara rohani untuk membangunkan Kerajaan Allah (“Rumah TUHAN”) di dalam komuniti, masyarakat dan negara kita.

Ingat: Kebangkitan rohani yang benar akan disertakan dengan tindakkan praktikal.
Apabila TUHAN “menggerakkan hati” kita, berdoalah dan lakukan sesuatu.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, May 28, 2014

8 Kebaikan Apabila Kamu Mengawal Penggunaan Media Sosial



Ramai orang beranggapan bahawa dunia mereka akan hancur jika mereka tidak menggunakan media sosialwalaupun hanya setengah hari. Media social seperti Facebook, Twitter, Instagram, Blog dan sebagainya, banyak mengambil masa kita dan ada yang percaya bahawa semua ini sangat penting. Hey, dunia tidak akan berakhir jika kita tidak menggunakan laman media sosial! Malah, banyak kebaikkannya jika kita tidak atau boleh mengawal penggunaannya. Di sini saya mendapati sekurang-kurangnya ada 8 kebaikkan:

1) Kamu boleh lebih fokus tentang kehidupan kamu berbanding dengan kehidupan orang lain. Apabila kita tidak ‘menjaga tepi kain’ orang – tentang kehidupan dan pencapaian orang lain, contohnya – dan lebih fokus tentang kehidupan peribadi kita sendiri, kita akan lebih mudah menerima baik buruk diri sendiri (dan menyerahkannya kepada Tuhan) tanpa perlu membuat perbandingan dengan pencapaian orang lain.

2) Kamu boleh lebih fokus untuk berinteraksi dengan dunia realiti di sekeliling kamu. Apabila kita kurang atau tidak seringkali memeriksa telefon pintar untuk mengetahui perkembangan di dunia digital, kita akan lebih fokus untuk bercakap dengan orang di sekeliling kita. Apabila kita berkomunikasi dengan orang lain secara bersemuka, banyak perkara yang kita dapat belajar (secara mendalam) berbanding dengan perkara-perkara yang dikongsikan di dunia media sosial.

3) Kamu tidak perlu risau samada ada orang telah memberi komen atau respon di Twitter atau menekan butang “like” di laman Facebook kamu. [Tidak perlu saya huraikan]

4) Kamu tidak perlu berinteraksi dengan orang yang kamu tidak suka. Oleh kerana kita pernah bersekolah atau pernah berkawan dengan mereka dahulu, ini tidak bermaksud kita masih lagi ada persamaan dengan mereka. Atau mungkin kita sudah berubah sekarang sehinggakan kita tidak lagi sesuai untuk bergaul dengan mereka.

5) Kamu tidak perlu lagi merasa janggal atau sakit hati dengan orang yang selalu meluahkan perasaan dan menunjukkan gambar yang tidak sesuai di laman media social. Kadang-kadang perkara seperti ini tidak perlu kita tahu... merosakkan jiwa dan minda sahaja!

6)  Banyak perkara dan kerja yang kamu boleh siap. Sentiasa memeriksa laman media sosial waktu pejabat atau semasa melakukan kerja banyak mengambil masa kita. Sebaliknya, apabila kita tidak atau mengurangkan masa untuk media sosial, banyak kerja atau perkara dapat dilakukan.

7) Kamu akan memiliki hidup kamu kembali! Apabila kita tidak membenarkan laman media social untuk mengatur dan mengawal hidup kita, kita akan beroleh hidup. ‘Hidup’ di sini bermaksud fikiran dan hati kita. Tidak perlulah kita khuatir tentang apa yang akan dikongsikan oleh orang lain di laman  media sosial. Kita sekarang mempunyai lebih masa dan fokus untuk mendengar dan berbicara dengan orang lain di sekeliling kita. Kita akan menpunyai hidup yang aktif dan bukannya pasif menunggu ‘hidup’ datang kepada kita melalui laman media sosial.   

8) Kamu ada masa untuk berdoa dan membaca Firman Allah. Kurang berdoa dan membaca buku terutamanya – Alkitab –adalah satu masalah yang besar terjadi dikalangan orang muda sekarang kerana banyak masa terluang digunakan untuk media sosial (ada membaca, tetapi membaca bahan yang tidak berfaedah untuk kehidupan orang Kristian). Apa yang sangat diperlukan sekarang ialah orang Kristian yang tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang remeh-temeh dan mula melihat dan melakukan sesuatu yang boleh memberkati orang lain di sekeliling kita. Yesus berkata, “Kasihilah Allah” dan “sesamamu”, “utamakan dahulu kerajaan Allah” dan “merenung Firman-Nya siang dan malam” (bukan laman media social).

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]