Saturday, May 4, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Sukacita dalam Pembaptisan (vi)

Apa itu pembaptisan, dan siapa yang harus dibaptiskan? Sebelum Tuhan Yesus diangkat ke syurga, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Pergilah kepada semua bangsa diseluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (Matius 28:19-20, BM).

Menurut Firman Allah di atas, adalah kehendak Tuhan Yesus supaya hamba-hamba-Nya pergi bersaksi tentang Berita Baik ke seluruh dunia dan membaptis mereka yang sudah menerima Berita Baik itu. Pembaptisan ialah kehendak yang Tuhan Yesus sendiri sudah perintahkan. Perkara ini telah menimbulkan dua pertanyaan; satu, bagaimana perintah pembaptisan itu harus dilakukan? Kedua, apakah maksud pembaptisan?

Untuk mendapat jawapan kepada soalan pertama tadi, kita harus merujuk buku Kisah Rasul-Rasul 8:26-39. Di dalam cerita itu, ada seorang pegawai tinggi ratu negeri Etiopia sedang menaiki kereta kuda sambil membaca kitab Nabi Yesaya (bab ke-53 dalam Perjanjian Lama). Pegawai ini ialah seorang yang benar-benar haus akan kebenaran; dan dengan itu, Allah telah memerintahkan hamba-Nya, Filipus, untuk bersaksi kepadanya. Filipus memberitahu dia “Berita Baik tentang Yesus Kristus” dan akhirnya – pegawai itu percaya. Pegawai itu kemudian meminta Filipus untuk membaptiskan dia... dan Filipus pun setuju untuk melakukannya asalkan dia benar-benar percaya kepada Yesus Kristus dengan sepenuh hati.

Baca dan fahami ayat 38 dan 39:
Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita”.

Sekarang, apakah kepentingan (atau maksud) tentang pembaptisan yang kita baca sebentar tadi – yang sehingga pada zaman sekarang ianya masih lagi dilakukan?

1) Pembaptisan ialah amalan atau pekerjaan yang dilakukan untuk mentaati perintah Tuhan Yesus (Matius 28:19). Ianya bukan bertujuan untuk menyucikan kita daripada dosa (hanya pekerjaan Yesus di kayu salib sahaja yang boleh menyucikan kita); tetapi ianya bertujuan supaya orang Kristian sedar dihadapan Allah dan mengetahui bahawa dia sudah mentaati perintah Tuhan Yesus. Hanya mereka yang sudah mendengar dan percaya sahaja yang layak untuk dibaptiskan (Kisah Rasul 18:8).

2) Pembaptisan ialah simbolik atau gambaran tentang kebenaran rohaniah (Roma 6:3-5).
i) Air ialah simbolik untuk penghakiman dan kematian. ii) Apabila Kristus mati, Dia masuk ke dalam ‘air’ penghakiman dan kematian bagi dosa kita. iii) Oleh sebab Kristus mati bagi orang yang percaya kepada-Nya, maka, ini juga bermaksud orang yang percaya juga mati bersama Kristus. Dengan erti kata lain; apabila Kristus mati, kita mati juga. Apabila Kristus dikuburkan, kita dikuburkan juga. Apabila Kristus dibangkitkan, kita dibangkitkan juga. iv) Dengan itu, orang Kristian yang percaya sudah mati untuk dosa, untuk keinginan dunaiwi, dan untuk keinginan diri sendiri. Kristus sudah mati bagi semua itu, dan mulai sekarang Tuhan Allah tidak lagi melihat kita sebagai pendosa – tetapi melihat kita di dalam Kristus yang telah bangkit dari kematian dan memiliki kehidupan baru melalui-Nya. v) Oleh itu, apabila kita orang Kristian melakukan pembaptisan, kita seperti menyatakan kepada dunia bahawa kita sudah mengambil tempat bersama Kristus dalam kematian dan kebangkitan-Nya. Dengan ini, kita bersaksi bahawa kita sudah memiliki kehidupan yang baru di dalam Kristus.

3) Pembaptisan yang sebenar ialah pembaptisan yang bukan hanya dilakukan dengan air, tetapi pembaptisan yang juga dilakukan dengan kuasa Roh Allah. Pembaptisan yang sebenar akan menunjukkan bahawa dosa dan kehidupan lama kita sudah pun mati. Kehidupan baru akan menampakkan dan memancarkan kemulian Allah kepada semua orang. Pembaptisan haruslah berlaku di dalam setiap hati orang Kristian secara dalaman – dan juga melalui kesaksian secara luaran.

Akhir Kata
Pada masa Gereja mula-mula dahulu, apabila ada orang yang percaya dibaptiskan, mereka seringkali atau kebanyakkannya akan dianiaya, diseksa dan dibunuh. Namun begitu, ini tidak pernah mematahkan semangat dan keinginan orang Kristian untuk mengkhabarkan Berita Baik kepada semua orang. Semakin ramai yang dianiaya, semakin ramai lagi yang percaya kepada Yesus Kristus dan dibaptiskan (sila baca kitab Kisah Rasul-Rasul dan buku-buku tentang sejarah Gereja untuk mengetahui apa yang berlaku kepada orang Kristian pada masa dulu).

Pada masa sekarang juga tidak banyak beza (lebih-lebih lagi di tempat yang jarang kita tahu). Pembaptisan ialah seakan-akan permulaan bagi orang yang percaya untuk dianiayai. Di kebanyakkan tempat, seorang Kristian yang benar masih lagi boleh ditoleransi asalkan dia hanya mengaku Kristus ialah Tuhan dengan mulutnya sahaja. Tetapi, apabila dia secara umum mengaku Kristus ialah Tuhan melalui pembaptisan, pihak musuh akan menentang dia dengan cara yang keras. Pihak musuh akan menganiayai, menyeksa dan menghukum dia. Ini berlaku terutamanya di negara-negara komunis. Keadaan di Malaysia dan di negara-negara lain mungkin tidak sama. Penganiayaan mungkin tidak seteruk atau secara fisikal seperti di negara China atau Rusia. Tetapi kebenarannya tetap sama – sesiapa yang ingin mengikut Kristus pasti akan dianiayai seperti Kristus juga.

Walaupun begitu, setiap kita yang percaya dan sudah dibaptiskan akan mengalami pengalaman dan perasaan yang sama seperti pegawai tinggi ratu negeri Etiopia itu tadi. Alkitab mengatakan bahawa: [Dia] meneruskan perjalanannya dengan sukacita” (Kisah Para Rasul 8:39, YB).

Mereka yang dibaptis akan berjalan dengan sukacita. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]