Sunday, May 12, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Bagaimana memilih Gereja (vii)



Bagaimana seorang Kristian boleh memilih gereja? Kita harus tahu bahawa sebaik sahaja seseorang menjadi pengikut Kristus, dia sudah menjadi anggota tubuh Kristus di dalam gereja. Gereja ialah sebuah persaudaraan yang terdiri daripada pengikut-pengikut Kristus tidak kira apa kaum, warna kulit atau budaya sekalipun. Terdapat ramai jemaah gereja diseluruh dunia – termasuk juga di Malaysia.

Walaupun begitu, adalah mungkin bagi orang-orang Kristian untuk berkumpul walau dimanapun mereka berada dan berfungsi sebagai sebuah gereja mengikut apa yang diajar melalui Alkitab. Sebagai contoh, persatuan persaudaraan Kristian di kampus-kampus. Semasa Perjanjian Baru, pengikut-pengikut Kristus seringkali bertemu di rumah-rumah (lihat Roma 16:5, Filemon 2); dan kita membaca bahawa “dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama” (Kisah Rasul-rasul 2:42).

Sekarang, adalah sangat jelas bahawa kehendak Allah ialah supaya orang-orang Kristian berkumpul dan bersama secara lazim di gereja. Ibrani 10:25 mengatakan bahawa: “Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa saudara”. Lebih daripada itu, banyak firman di dalam Perjanjian Baru yang mengajar tentang kelebihan dan tanggungjawab kita sebagai anggota tubuh Kristus (lihat 1 Korintus 12).

Namum begitu, ramai diantara kita orang Kristian (terutamanya Kristian yang baru) keliru atau/dan tidak tahu bagaimana untuk memilih gereja yang sesuai. Ada pelbagai mazhab diantara orang Kristian, dan juga ada pelbagai ajaran yang berbeza di dalam gereja. Kita tahu bahawa tidak ada ajaran gereja yang betul-betul sempurna di dunia ini kerana manusia tidak sempurna, tetapi, kita harus mencari gereja yang setia dan terus berpegang kepada ajaran Alkitab.

Oleh itu, 3 senarai dibawah disediakan kepada mereka, khususnya orang Kristian yang baru, untuk membantu mencari gereja yang sesuai. Harus diingat bahawa dalam mencari gereja, kita patut datang kepada Allah dalam doa supaya kehendak-Nya boleh kita ketahui. Setiap fahaman kita tentang gereja mestilah datang dari Firman-Nya sahaja. Tradisi dan adat manusia (yang wujud di gereja sekarang) haruslah diuji dan difahami dengan membandingkannya dengan ajaran Alkitab.

1) Pastikan bahawa gereja yang kita ingin pergi dan sertai mengaku bahawa Alkitab ialah Firman Allah yang diinspirasi oleh Allah sendiri dan tidak pernah silap. Alkitab ialah satu-satunya autoriti yang mutlak dalam segala hal yang berkaitan dengan iman dan pekerjaan orang Kristian. Adalah tidak cukup untuk mengatakan bahawa Alkitab mengandungi Firman Allah – ia ialah Firman Allah. Oleh itu, ia ialah sumber kebenaran, dan kita harus mempercayainya dan taat kepadanya (2 Timotius 3:16-17).

2) Pastikan bahawa kebanyakkan umat-umat gereja (terutamanya, pemimpin-pemimpin) tahu dan jelas tentang siapa diri Kristus yang sebenar. Banyak orang sedia mengaku bahawa Kristus ialah seorang pemimpin yang hebat, seorang manusia yang paling unik di dunia, atau seorang yang memiliki ciri-ciri ‘ketuhanan’. Tetapi, kebenarannya ialah Penyelamat kita, Yesus Kristus ialah Tuhan – dan tidak kurang daripada itu (Kolose 2:9). Amen!

3) Dan terakhir sekali ialah; pastikan bahawa ajaran tentang pekerjaan Kristus adalah benar dan kukuh. Alkitab mengajar bahawa Tuhan Yesus hidup tanpa berbuat dosa, bahawa Dia rela mati bagi dosa kita di kayu salib, bahawa Dia dikuburkan, bahawa selepas 3 hari Dia dibangkitkan semula, bahawa kemudiannya Dia telah diangkat ke Syurga dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan Allah. Keselamatan hanya boleh dimiliki melalui iman dalam Kristus iaitu pekerjaan Allah dan tidak melalui pekerjaan manusia. Hanya melalui darah Kristus barulah dosa kita dapat diampuni – inilah kebenaran yang paling penting yang gereja harus percaya, tahu dan ajarkan.

Selain daripada 3 senarai diatas, kita juga harus pastikan bahawa gereja yang kita ingin pergi dan terus melayani tahu tentang kebenaran-kebenaran di bawah sebagai tubuh Kristus di gereja;
1) Kristus ialah Kepala jemaah gereja (Efesus 4:15). Tiada sesiapa yang boleh mengambil kedudukan tertinggi ini. Apabila Kristus diakui sebagai Kepala; jemaah gereja akan melihat Dia sebagai yang teratas dan Dia sahaja ialah pemimpin dan pembimbing utama kita.

2) Setiap pengikut Kristus ialah anggota tubuh Kristus (1 Korintus 12:12-13). Setiap anak-anak Allah yang benar layak untuk bersekutu di dalam persaudaraan di gereja [Namun begitu, orang yang tidak memiliki ajaran yang benar (2 Yohanes 10) dan orang yang masih hidup dalam dosa (1 Korintus 5:13) – haruslah diusir dari persaudaraan Kristus selagi mereka tidak datang kepada Allah untuk diampuni dan disucikan]. Orang yang belum percaya tidak harus dianggap sebagai anggota tubuh Kristus sehingga mereka mengaku dengan iman bahawa Yesus Kristus ialah satu-satunya Juruselamat dan Tuhan mereka.

3) Setiap pengikut Kristus ialah imam-imam Besar (1 Petrus 2:9). Di dalam Perjanjian Baru, tidak ada perbezaan diantara seorang imam dengan seorang yang biasa. Setiap orang Kristian sekarang boleh datang kehadapan Allah melalui iman untuk membawa korban kesyukuran dan pujian semyembahan dan pekerjaan pelayanan. Sejak dari gereja pertama dahulu, setiap orang ialah pengkaji Firman Allah, setiap orang ialah pemenang jiwa, setiap orang bekerja bagi Allah. Ini sepatutnya menjadi ciri-ciri utama setiap jemaah gereja.

4) Autoriti Roh Allah haruslah diakui. Samada dalam puji sembah atau pekerjaan, pelayanan atau disiplin, Roh Kudus harus diberi kebebasan untuk membimbing semuanya. Bimbingan dan autoriti Roh Allah tidak harus dibataskan oleh tradisi atau upacara-upacara atau peraturan-peraturan perbuatan manusia (2 Korintus 3:17).

Secara kesimpulannya, orang Kristian yang baru (khususnya) harus memilih persaudaraan gereja yang mengaku bahawa Alkitab ialah satu-satunya autoriti yang utama dalam kehidupan orang Kristian; gereja yang tahu dan jelas tentang siapa diri Kristus yang sebenar; dan gereja yang mengajar tentang pekerjaan Kristus dengan betul dan benar. Saudara dan saudariku dalam Kristus, memang agak susah untuk kita mencari gereja yang sesuai dan seperti ini. Oleh itu, berdoalah kepada Allah dan teruskan bertekun dalam membaca dan menyelidiki Firman Allah agar Dia akan memberikan kamu petujuk untuk gereja mana yang patut kamu pergi. Ingat: tiada gereja yang sempurna, hanya Allah sahaja yang sempurna. Carilah dan taatilah Dia terlebih dahulu – Yesus Kristus ialah yang terutama! Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

2 comments:

  1. Am I overlooking the translator function on your Blog? Thank you for a reply

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi, I'm not sure what do you mean. Are you looking for "translation function" (as in icon) on this blog? I don't know how to install or use it. Btw, thank you for commenting :)

      Delete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]