Showing posts with label Bila Paulus Bertemu Yesus. Show all posts
Showing posts with label Bila Paulus Bertemu Yesus. Show all posts

Sunday, November 26, 2017

Bila Paulus Bertemu Yesus #5 Satu Istilah Yang Paling Indah Di Dalam Alkitab


Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus… Mereka nyerat dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul
(Kisah Para Rasul 7:54, 58,
AVB)

Ya, Saul (atau Paulus) berada di sana ketika Stefanus berucap dan kemudian direjam dengan batu. Bila Firman menulis, “[mereka] meletakkan jubah mereka di kaki… Saul”, ini bermaksud mereka menghormati dan meminta izin kepada Saul untuk merejam Stefanus. Meminta izin kepada seseorang bermaksud seseorang itu berpengaruh dan mempunyai kuasa untuk mengarahkan sesuatu tindakkan. Bila kita memahami maksud “meletakkan jubah”, kita mendapat suatu gambaran yang lebih lagi tentang sikap dan fikiran Saul sebelum dia mengenali Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.

Saul sangat bekenan dengan izin yang diberikannya kepada musuh Stefanus. Mereka pula suka untuk melakukannya. Saya membayangkan bagaimana Saul tersenyum atau bersukacita bila setiap kali batu yang dilemparkan kepada Stefanus mengenainya. Bagaimana pula reaksi TUHAN bila melihat semua ini (7:55)? Boleh kamu bayangkan betapa hancur hati Yesus melihat Stefanus yang benar itu direjam dengan kejam? Dan betapa penuh belas kasihan dan harapan Dia melihat Saul yang penuh dengan dosa itu?

Stefanus mengikut Dia tetapi Saul menentang Dia. Seorang dilumuri darah; seorang lagi dipenuhi dengan kegelapan. Seorang tidak boleh menyelamatkan diri dia daripada pihak musuh; seorang lagi tidak dapat menyelamatkan diri daripada dosa terhadap Allah. Seorang mati secara fisikal tetapi hidup dalam Roh; seorang lagi hidup secara fisikal tetapi mati dalam roh. Seorang dikasihi oleh Tuhan Jesus dan seorang lagi – sama – Tuhan Jesus tetap mengasihi dia. Apakah istilah yang diberikan di dalam Alkitab tentang kasih Allah seperti ini? Kasih kurnia, kasih kurnia Allah!

Saul yang kemudiannya dipanggil Paulus menulis:
Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku,
dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus” (1 Timotius 1:14)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

Tuesday, November 14, 2017

Bila Paulus Bertemu Yesus #4 "Jauhkan Hamba-Mu daripada Dosa yang Sengaja"


Jauhkan hamba-Mu daripada dosa yang sengaja;
jangan sampai aku dikuasainya.
Supaya aku bebas daripada kesalahan,
bersih daripada keingkaran yang berat
(Mazmur 19:13, AVB)

Kebanyakan orang Farisi dan mereka yang berkedudukan dikalangan orang Saduki yang pernah bersemuka dengan Tuhan Yesus berkemungkinan besar merupakan para guru Paulus (atau Saul, namanya sebelum dia berubah) dan rakan-rakan semuridnya. Istilah Farisi bermaksud, secara ringkas, mereka yang ‘dipisahkan’ atau ‘diasingkan’ untuk menguduskan diri dan devosi kepada Allah. Tetapi pada masa Perjanjian Baru, iaitu pada masa Yesus, istilah Farisi lebih merujuk kepada mereka yang munafik dan hipokrit dalam hal agama dan kepimpinan.

Matius 23 merupakan bab dimana Yesus mengecam orang Farisi, orang Saduki dan para ahli Taurat. Bila Yesus berfirman kepada orang ramai tentang mereka, kemungkinan Paulus ada dikalangan orang Farisi. Sebagai contoh, Yesus berkata bahawa mereka meletakkan beban agama kepada orang tetapi mereka tidak mahu menolong (ayat 4); mereka melakukan hal agama supaya dilihat oleh orang ramai (ayat 5); mereka suka dilayani dan dianggap penting (ayat 6); dan mereka bukan hanya tidak akan memasuki Kerajaan Syurga tetapi mereka juga akan menghalang orang lain daripada masuk.

Adakah ciri-ciri orang munafik dan hipokrit dalam Matius 23 ada pada kamu dan saya? Baca Matius 23. Umat Allah tidak perlu takut untuk memeriksa motif dan kelakuan berdasarkan Firman Allah. Pengikut Kristus harus berani mengambil risiko dan bertindak untuk bertanya kepada TUHAN supaya memeriksa hati, fikiran dan sikap kita. Minta Allah menunjukkan kepada kita kelemahan yang harus kita perbaiki dan dosa yang perlu kita bertaubat. Dengan cara ini, TUHAN boleh memberkati, menguatkan dan menyembuhkan kita. Daripada orang ‘farisi’ kita menjadi pengikut Kristus yang sebenar.

Semoga segala yang kututurkan
dengan lidah dan kurenungkan
dalam hati diterima oleh-Mu,
Ya TUHAN, Batu Pejalku dan Penebusku
(Mazmur 19:14)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

Sunday, November 12, 2017

Bila Paulus Bertemu Yesus #3 Allah Mempunyai Rancangan Bagi Orang Yang Mengasihi-Nya


[Kamu] mestilah terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini,
kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari
(2 Timotius 3:14, AVB)

Salah satu konsep yang indah dalam Firman Allah ialah Dia mempunyai rancangan yang istimewa dalam hidup kita, jika kita mengasihi Dia. Dalam Galatia 1:15, Paulus menulis bahawa Allah “telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku melalui kasih kurnia-Nya.” Ya, Tuhan ada rancangan-Nya dalam kehidupan Paulus. Tiada apa dalam kehidupan Paulus – samada sebelum atau selepas dia menjadi pengikut Kristus – yang sia-sia. Semasa dia masih muda, dia menjadi murid kepada guru Gamaliel (Kisah Para Rasul 5:34-39), cucu kepada Hillel, antara guru Taurat Musa yang paling terkenal dalam sejarah orang Yahudi.

Semua pendidikan dan latihan Paulus dibawah Gamaliel, masa yang digunakan untuk mengkaji Alkitab dan Hukum Taurat, segala pengetahuan tentang adat nenek moyang orang Yahudi, semuanya merupakan sebahagian daripada rancangan Allah dalam kehidupan Paulus. Tuhan dengan kebijiksanaan-Nya telah menyediakan minda Paulus dengan Hukum Taurat dan telah meletakkan kasih kurnia-Nya dalam hatinya. Dengan ini, Paulus boleh bersaksi bahawa bukan Hukum Taurat yang boleh menyelamatkan kita tetapi hanya dengan darah Yesus Kristus, iman melalui kasih-kurnia-Nya. Bila Paulus bertemu dengan Tuhan Yesus segala-galanya telah berubah.  

Allah telah mendahului setiap kehidupan kita yang percaya dan mengasihi-Nya. Dia telah menyediakan kita sebelum kita lahir ke dunia. Dia ada rancangan yang indah dalam setiap kehidupan kita. “Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan” (Efesus 2:10).


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Saturday, November 11, 2017

Bila Paulus Bertemu Yesus #2 Mengikat Firman Allah Sebagai Tanda Peringatan


Ikatkanlah semua [Firman Allah] sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu
(Ulangan 6:8,
AVB)

Pada usia 13 tahun, Paulus (atau Saul) sudah dianggap sebagai seorang dewasa yang harus hidup menurut Hukum Taurat dan dia bertanggungjawab untuk melakukan kewajibannya sebagai orang Yahudi yang sudah matang. Dia pada usia ini akan menggunakan suatu alat yang dinamakan tefillin sebagai alat untuk berdoa pada setiap pagi. Alat ini terdiri daripada dua kotak hitam kecil yang mengandungi beberapa petikkan ayat dari Kitab Taurat yang diikat dengan menggunakan tali kulit (lihat gambar di atas). Paulus akan mengenakan satu kotak di bahagian lengan kiri dekat dengan hatinya dan tali kulit akan dililit sebanyak tujuh kali. Kotak yang satu lagi akan diikat di kepala dibahagian tengah dahinya.

Kenapa ia diletakkan di lengan kirinya? Kerana bagi orang Yahudi, tangan kiri merupakan bahagian yang lemah. Kenapa pula ia diletakkan di dahi? Kerana kepala yang memimpin setiap bahagian tubuh kita. Orang Yahudi mengenakan Firman Allah pada bahagian yang paling lemah (tangan kiri) dan yang paling penting (bahagian kepala). Ia menjadi simbol yang menguatkan (yang lemah) dan memimpin (fikir, hati dan perbuatan). Sejak berusia 13 tahun, orang lelaki Yahudi akan bangun setiap pagi diingatakan atau disedarkan bahawa mereka ialah milik TUHAN, umat Allah. Hukum Taurat menjadi Hukum Kehidupan mereka.

Kita tidak perlu mengikuti cara orang Yahudi – malah setelah Paulus menerima Tuhan Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penggenap Hukum Taurat, Paulus tidak lagi menjadi hamba hukum dan tradisi Yahudi – tetapi prinsip rohaninya harus kita ikuti. Kita harus mengabdikan diri kita kepada Allah dengan membiarkan Roh Kudus meletakkan Firman-Nya di dalam hati, fikiran dan tubuh kita. Biar Firman Allah ditanam dan bertumbuh di dalam hati kita; biar ia mempengaruhi pemikiran kita; dan biar ia memimpin kelakukan dan sikap kita.

Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku.
Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi
hukum-hukum-Mu yang benar” (Mazmur 119:105-106)

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Friday, November 10, 2017

Bila Paulus Bertemu Yesus #1 Kerana Bagiku, Hidup ialah Kristus

Baca tentang perubahan hidup Paulus bila dia bertemu dengan Yesus
dan Yesus memanggil dia dalam Kisah Para Rasul bab 9

Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Jawab-Nya, ‘Akulah Yesus yang kauaniaya’
(Kisah Para Rasul 9:5-6,
AVB)

Lama selepas Tuhan Yesus mengubah perjalanan Paulus (Saul) di Damsyik dari memburu orang Kristian kepada pertaubatannya menjadi Kristian, kesaksian dia tetap sama – tidak pernah berubah. Sesuatu yang dramatik yang berlaku kepada seorang pemberontak yang akhirnya menjadi pengikut Kristus yang setia dan berpengaruh.

Saya berdoa supaya Tuhan yang sama yang mengubah Paulus juga akan mengubah kita ketika kita membaca Firman Allah dan membiarkan Roh Kudus-Nya bekerja di dalam hidup kita. Penulisan Paulus di dalam Alkitab Perjanjian Baru banyak mengubah diri saya sendiri. Saya telah menerima banyak cabaran dan galakkan daripada Tuhan Yesus melalui rasul Paulus. “Aku ingin mengenali Yesus dan kuasa kebangkitan-Nya” (Filipi 3:10) telah menjadi matlamat hidup saya. “Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan” (Filipi 1:21) pula telah menjadi harapan peribadi saya. Paulus telah menjadi mentor yang membawa saya kepada Yesus Kristus, Tuhan saya.

Bila kita sanggup dan benar-benar percaya “kerana bagiku, hidup ialah Kristus,” bila kita betul-betul mengaminkan Firman ini, maka, kehidupan kita tidak akan menjadi sama lagi, kita akan memperoleh kehidupan yang penuh dan bermakna. Hidup ini untuk dan bagi Kristus, jika kita mati dalam iman kepada-Nya, ia ialah keuntungan! Amin!

Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun
kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus
yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku
dan aku juga kepada dunia
” (Galatia 6:14)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]