Wednesday, June 5, 2013

Hanya ada Satu Jalan kepada Bapa

Sesudah [Yesus] menjadi penyelamat yang sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua orang yang taat kepada-Nya” (Ibrani 5:9).

Pertama kali saya pergi ke rumah kawan, saya sesat. Kemudian saya bertanya kepada seorang pemilik kedai Burger yang berniaga di tepi jalan, “Bos, mana jalan Uptown 3A?”. “Oh, tidak jauh dari sini. Jalan terus, masuk kiri, pandu pergi belakang kedai, masuk kanan lorong A”, jawab dia. “Errr... susahnya. Ada jalan lain lagi?” respon saya. Kemudian dia menjawab, “Itu hanya satu-satunya jalan ke sana”.

Hanya ada satu jalan sahaja untuk keselamatan. Yesus berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku” (Yohanes 14:6, TB). Panggilan terakhir di dalam Alkitab mengatakan, “Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, ‘Marilah!’ Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, ‘Marilah!’ Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang mengingininya!” (Wahyu 22:17).

Kita sekarang masih lagi hidup dalam tempoh kasih kurnia Allah. Panggilan-Nya untuk kita menerima pengampunan dari dosa dan pemberian hidup baru masih lagi diberikan. Suatu masa nanti, yang pasti pintu kasih kurnia-Nya akan ditutup. Tawaran-Nya tidak akan kekal selama-lamanya; ia pasti ada pengakhirannya. Sebab itulah Alkitab telah memberikan kita amaran dan peringatan: “Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan!” (2 Korintus 6:2). Sementara kita masih lagi hidup dalam tempoh kasih kurnia-Nya dan sementara pintu pengampunan-Nya masih lagi terbuka, kita harus memberitakan Berita Baik tentang Yesus dan meminta supaya setiap orang yang mendengar tentang keselamatan itu akan memberi respon dan melalui pekerjaan Roh Allah, mereka akan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka secara peribadi (Mungkin, jika kamu masih belum lagi menerima Kristus secara peribadi, inilah masanya bagi kamu untuk berbuat begitu ATAU inilah masanya untuk kamu mula mengenali siapa itu Yesus Kristus seperti yang ditulis di dalam Alkitab).

Ketika Allah menjadikan banjir besar di bumi, nabi Nuh hidup dan selamat di dalam bahtera. Nabi Nuh percaya kepada Allah dan dia “melakukan kehendak [Allah]” (Kejadian 7:1) dengan mentaati perintah-Nya. Kamu juga boleh mendapat hidup baru dan menerima keselamatan daripada-Nya dengan percaya dan mentaati firman-Nya. Alkitab mengatakan bahawa Yesus Kristus sudah mati di kayu salib bagi dosa kita, bangkit semula dan sekarang bersama dengan Allah Bapa agar sesiapa yang percaya kepada-Nya akan mendapat kebenaran dihadapan Allah yang suci. Bagi dunia ini ialah “kebodohan” tetapi bagi kita yang sudah percaya, ini ialah “kebijaksaan” yang membawa keselamatan! Oleh itu, “Marilah! Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang mengingininya!” sementara kasih kurnia-Nya masih lagi diberikan dan pintu syurga masih lagi terbuka.

Ya Bapaku yang di syurga, ada jalan lain lagikah untuk aku diselamatkan
daripada segala dosa-dosaku dan beroleh sukacita di dalam-Mu yang kekal?
Kemudian, Tuhan Yesus menjawab: “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup.
Tiada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku
” Marilah!
Semoga Roh Allah membuka hatimu bagi Dia. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]