Thursday, April 25, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Amalan dan Cara Hidup pengikut Kristus (v)

Kawan-kawan saya pernah bertanya (saya sendiri juga suatu masa dahulu bertanya), “Richard, bolehkah saya menghisap rokok?”; “Bagaimana jika saya hanya minum arak suka-suka sahaja dan sewaktu perayaan?”; “Bolehkah saya bertatu selepas menjadi Kristian?”; “Bagaimana jika saya bermain judi?”;Kamu rasa bolehkah saya pergi dan menari di kelab malam?”; “Errr... menonton cerita ‘lucu’?” dan sebagainya.

Ramai diantara kita masih lagi bergumul dengan persoalan-persoalan seperti di atas. Apabila kita membaca Alkitab, kita mendapati bahawa ada sesetengah amalan memang jelas dilarang oleh Allah, tetapi ada juga yang tidak berapa jelas atau tidak ditulis langsung. Jadi, bagaimana jika kita berdepan dengan persoalan-persoalan seperti di atas dan masih lagi ragu-ragu samada kita boleh atau tidak boleh melakukannya? Berikut ialah 9 soalan yang mungkin boleh membantu kita untuk membuat keputusan yang berkenan di hadapan Allah:

1) Pertama sekali, adakah amalan itu jelas sekali dilarang di dalam Alkitab sehingga sekarang? Jika ya, jauhilah ia secepat mungkin. Jika kamu tidak pasti, jangan melakukannya sehingga kamu benar-benar pasti akan kebenarannya. “Jauhkanlah dirimu dari segala jenis kejahatan” (1 Tesalonika 5:22, TB)

2) Kemudian, tanya soalan ini: Adakah amalan ini akan memberi kemulian kepada Tuhan Allah? Di dalam surat 1 Korintus 10:31, rasul Paulus menulis, “Apa sahaja yang kamu lakukan... lakukanlah semuanya untuk kemuliaan Allah”. Sebelum kita melakukan sesuatu yang masih lagi menjadi persoalan, berdoa kepada Tuhan untuk membimbing kamu untuk membuat keputusan.

3) Adakah amalan ini “dari/milik dunia” (bersifat duniawi)? Jika ya, jadi ia ialah bukan dari/milik Kristus. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia” (Yohanes 17:16). Kita berada dan tinggal di dunia tetapi bukan milik dunia.

4) Seterusnya, tanya: Pada pendapat kamu, adakah mungkin Yesus akan melakukannya? Soalan ini penting kerana Alkitab mengatakan bahawa Tuhan Yesus sendiri telah memberi kita “teladan, supaya [kita] mengikut jejak-Nya” (1 Petrus 2:21).

5) Adakah kamu berani menghadap Kristus jika Dia datang untuk kali kedua ketika kamu sedang melakukan amalan itu? Atau adakah kamu akan bersembunyi kerana malu? (lihat 1 Yohanes 2:28).

6) Bolehkah kamu merasa bebas untuk melakukan amalan itu bila kamu tahu bahawa Roh Allah ada di dalam diri kamu? 1 Korintus 6:19, “Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah”.

7) Adakah amalan itu sesuai dilakukan oleh orang Kristian yang bergelar anak-anak Allah? Begini, apabila anak raja melakukan perkara yang tidak baik dan yang memalukan, dia akan memburukkan nama baik ayahnya – begitu juga orang Kristian kepada Tuhan Allah jika kita melakukan amalan yang tidak baik dihadapan-Nya (Kolose 1:10).

8) Bertanya juga: Apakah kesannya kepada orang lain (atau kepada orang yang masih belum percaya lagi) jika mereka melihat amalan kita? Adakah ianya akan memberikan gambaran yang baik kepada mereka, atau mereka akan berfikir bahawa orang Kristian juga tidak ada jauh bezanya dengan orang yang belum percaya? Dan, adakah amalan kita itu akan menjatuhkan orang Kristian yang baru percaya kepada-Nya? Rasul Paulus memberi amaran kepada kita supaya “jangan kita membuat saudara kita jatuh atau tersandung [dalam iman]” (Roma 14:13, TB).

9) Akhir sekali, pada pendapat kamu – dalam pemikiran dan perasaan kamu, adakah kamu masih ada rasa ragu-ragu untuk melakukan hal atau amalan itu? Jika ya, jangan lakukannya kerana jika kamu masih lagi merasa ragu-ragu, Allah akan menyalahkan kita “sebab orang itu tidak bertindak menurut keyakinannya tentang apa yang benar dan yang salah. Dan apa saja yang dilakukan tanpa keyakinan adalah dosa” (Roma 14:23, B. Indo Sehari-hari).

Peringatan Penting!
Dalam keinginan kita untuk mengetahui samada kita boleh atau tidak boleh melakukan sesuatu perkara, kita sebagai orang Kristian harus sedar dan tahu dan percaya bahawa kita “tidak [lagi] berada di bawah Hukum Taurat, tetapi di bawah kasih kurnia” (Roma 6:14, TB. “Not under law but under grace”, ESV). Ini tidak bermaksud kita boleh melakukan apa saja sesuka hati kita, tetapi ia bermaksud bahawa kita mahu melakukan kehendak Allah kerana Dia yang telah melakukan segala-galanya untuk kita terlebih dahulu. Kita tidak menghindari dan menjauhi perkara dan keinginan duniawi kerana kita wajib melakukannya tetapi kita mahu melakukannya (dengan kuasa Roh Allah). Sebab utama kita mahu melakukannya ialah kerana Kristus sudah mati bagi kita, dan sekarang keinginan dan hidup kita ialah untuk Kristus (2 Korintus 5:15) – cara hidup yang memuliakan Allah.

Tuhan tidak berkata, ‘Jika kamu menjauhi perkara berdosa, kamu akan menjadi seorang Kristian’ tetapi berkata ‘Kamu ialah seorang Kristian, pengikut Kristus. Oleh itu, hiduplah sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh[Ku] ketika [Aku] memanggil kamu” (Efesus 4:1)’.

Jika ada di antara kita [sudah] jatuh ke dalam dosa, kembalilah kepada-Nya. Dia sedia mengampuni kita. Kasih kurnia-Nya melebihi segala-galanya. Tuhan Allah sendiri akan membawa kita balik semula kepada-Nya... Terus percaya dan jangan lupa akan kasih kurnia-Nya yang ditunjukkan sepenuhnya melalui Anak-Nya, Yesus Kristus. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]