Thursday, April 11, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Kelahiran Semula (i)

Yesus berkata kepada Nikodemus: “...kamu semua mesti dilahirkan semula!
(Yohanes 3:7,
BM)

Apa yang berlaku apabila seseorang telah dilahirkan semula? Ini ialah proses yang berlaku kepada mereka yang percaya kepada Kristus dan dilahirkan semula secara rohani oleh Roh Allah; Pertama, seseorang itu sedar akan dosa dia dan mengerti bahawa dia layak untuk menerima hukuman selamanya di neraka (hanya Roh Allah sahaja yang boleh membuatkan seseorang itu sedar akan hal ini). Selepas itu, dia menyesal dan bertaubat atas dosa dia, dan mengaku kepada Tuhan Allah bahawa dia ialah pendosa yang memerlukan Penyelamat. Seterusnya, dia menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat, dan pada ketika itu dia dikatakan telah “dilahirkan [semula] oleh Roh Allah” (Yohanes 3:6, BM). Semua dosa dia telah diampuni. Dia menerima kehidupan kekal bersama Allah melalui Kristus.

Tetapi, itu hanya sebahagian kecil (walaupun tersangat penting) daripada kisah kehidupan orang Kristian – ia hanyalah satu permulaan. Kita belajar melalui firman Allah, Alkitab bahawa masih ada banyak lagi perkara yang hebat yang berlaku kepada orang yang telah diselamatkan oleh-Nya. Di sini ada 10 perkara penting yang berlaku kepada orang yang telah dilahirkan semula oleh Roh Allah:

1) Kita dikasihi oleh Allah kerana Yesus Kristus (Efesus 1:6)
Ini bermaksud Kristus hidup di dalam kita untuk melayakkan kita berdiri di hadapan-Nya dan “Dia menunjukkan kasihi-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus” (Efesus 2:7). Allah melihat Kristus di dalam kita. Ini juga bermaksud orang Kristian layak menghadap Allah asalkan Kristus sentiasa ada... dan oleh kerana Kristus sentiasa ada kini dan selamanya, kita juga akan sentiasa layak bersama dengan Allah selamanya.

2) Kita menjadi Anak-anak Allah (1 Yohanes 1:12)
Pernahkah kamu membayangkan bahawa kamu ialah anak kepada orang-orang yang paling terkenal di dunia, contohnya Presiden Obama atau Bill Gates? [Saya pernah teringin menjadi anak kepada pastor John Piper]. Sekarang, sedarkan diri kamu bahawa kamu ialah anak-anak Allah, Pencipta langit dan bumi dan seluruh alam semesta. Sedar bahawa kita ialah anak-anak Allah dimana semua yang di syurga dan di bumi sujud menyembah-Nya! Awesome!

3) Kita dibenarkan oleh Kristus dihadapan Allah (Roma 5:1, 8:30-33)
Tuhan Allah, Hakim Semesta, akan berkata kepada bekas pendosa yang telah diampuni oleh-Nya, “Tidak Bersalah!” dan melihat dia sebagai seorang yang suci dihadapan-Nya. Dia tidak akan dihakimi kerana Kristus telah mati baginya dan Kristus telah menjalani setiap hukuman yang sepatutnya dia alami di kayu salib. Darah Kristus telah membenarkannya. Oleh itu, orang Kristian tetap kukuh berdiri dihadapan Allah dan tidak akan dihakimi oleh-Nya atas dosa-dosa yang dia pernah lakukan.

4) Kita akan menjadi tempat kediaman Roh Allah (1 Korintus 6:19)
Alkitab mengatakan bahawa “Allah telah mengurniai kita Roh-Nya, kita tahu bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita” (1 Yohanes 4:13). Tubuh orang Kristian adalah tempat tinggal Roh Allah. Oleh sebab kita mempunyai keistimewaan ini, kita sebagai anak-anak Allah harus sentiasa memperhatikan percakapan, tingkah laku dan pemikiran walaupun di mana sahaja kita berada.

5) Kita semua menjadi satu tubuh dalam Kristus (1 Korintus 12:13)
Geraja Allah dikatakan tubuh Kristus. Semua orang yang (benar-benar) percaya dan beriman kepada-Nya adalah satu dalam tubuh Kristus – gereja-Nya. Tidak ada kelebihan yang hebat lagi daripada ini selain daripada menjadi salah satu anggota keluarga di dalam gereja Allah.

6) Kita menjadi ahli waris kepada setiap janji-janji Allah (Roma 8:17)
Tuhan Allah ialah pencipta semesta dan setiap yang ada adalah milik-Nya. Allah telah berjanji kepada umat-umat-Nya bahawa mereka akan memerintah bersama-sama dengan Kristus dan semua yang ada akan juga menjadi milik kita [namun begitu, firman Allah terlebih dahulu mengatakan bahawa ini semua akan ditunaikan sekiranya “kita [juga] menderita bersama-sama dengan Dia” (8:17) Penderitaan di dunia ini ialah sebahagian daripada cabaran kehidupan bagi orang yang percaya].

7) Kita menjadi umat-Nya yang kudus (Roma 1:7)
Dalam terjemahan bahasa inggeris mengatakan bahawa kita “called to be saints” (ESV) – dipanggil menjadi orang-orang kudus. Orang-orang kudus ialah orang yang telah dipanggil untuk Allah sendiri oleh Roh-Nya (Mazmur 4:3). Melalui pandangan Allah, setiap orang yang beriman, yang telah dilahirkan semula ialah orang-orang kudus kerana Dia melihat Kristus yang kudus hidup bersatu di dalam mereka.

8) Kita adalah sempurna dalam Kristus (Kolose 2:10)
Orang Kristian mempunyai kesempurnaan dihadapan Allah. Dia dekat kepada kita seperti Kristus dekat kepada-Nya. Apabila Kristus ada bersama kita, kita mempunyai segalanya untuk terus bersukacita di dalam-Nya dan mempunyai hidup kekal bersama-Nya kini dan selama-lamanya.

9) Kita akan memiliki sifat Allah sendiri (2 Petrus 1:4)
Kita akan perasan bahawa kini kita sudah mempunyai keinginan yang berbeza, harapan yang baru, cita-cita masa depan yang baru, kebencian terhadap dosa, dan kasih baru terhadap orang-orang Kristian yang lain. Apabila kita membenarkan Allah mengubah kehidupan kita dan sifat Allah terus dialami oleh kita, kita akan beransur-ansur menjadi seperti Yesus Kristus. Ini ialah rencana Tuhan Allah dalam setiap kehidupan anak-anak-Nya.

10) Kita akan sentiasa dijaga dan diperhatikan oleh Allah (Roma 8:28)
Tidak ada perkara yang baik dan/atau yang tidak baik yang berlaku kepada orang Kristian adalah diluar rencana Allah. Dalam erti kata lain, tidak ada “accidents” di dalam kehidupan kita. Segala perkara yang berlaku kepada anak-anak Allah akan “menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia” (Roma 8:28). Walaupun setiap percubaan, godaan dan disiplin dari Allah sekalipun – adalah baik untuk pertumbuhan rohani kita. Oleh itu, kita harus bersukacita atas kebenaran ini.

Semua di atas ialah perkara-perkara baik yang akan dan sudah pun berlaku kepada orang yang telah dilahirkan semula oleh Roh Allah. Semua ini ialah atas sebab kasih kurnia-Nya kepada kita – bukan disebabkan kebaikan atau pekerjaan kita, tetapi oleh iman kita kepada Kristus. Namun, kita harus ingat akan 2 perkara ini; 1) Kita harus terus menyembah dan memuji Tuhan Allah atas keselamatan yang Dia telah sediakan kepada kita melalui Anak-Nya, Yesus Kristus, dan 2) Kita harus menyerahkan segala kehidupan kita (ya, seluruh kehidupanmu!) kepada Dia yang telah mempersembahkan hidup-Nya kepada Bapa di kayu salib untuk kemuliaan-Nya sendiri dan untuk kita orang yang berdosa. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]