Saturday, May 6, 2023

Unsur-Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia (1985) oleh Tun Mohd Salleh Abas, Book Review


Mendiang Mohd Salleh Abas (1929-2021) ialah bekas Ketua Hakim Negara ke-6 dari tahun 1984 yang dahulunya sangat heboh dengan berita tentang pemecatan beliau secara mengejut pada tahun 1988 "tanpa mengikut prosedur oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan krisis Perlembagaan 1987" (dipetik daripada Utusan Malaysia). Sebelum ini, saya tidak pernah mengenal atau mendengar apa-apa tentang beliau sehinggalah saya membaca buku ini. Buku ini sangat padat, jelas dan sesuai untuk pembaca seperti saya yang berminat tetapi kurang pengetahuan tentang undang-undang asas di Malaysia (mungkin dahulu semasa belajar Sejarah adalah tahu sedikit tetapi sudah banyak lupa).

Apakah yang dimaksudkan dengan
"unsur-unsur tradisi" dalam Perlembagaan? Menurut Mohd Salleh, "Perkara-perkara yang boleh digolong sebagai 'perkara tradisi' dengan erti kata bahawa perkara-perkara ini telah pun diamalkan lama sebelum pemerintahan penjajah British di Tanah Melayu. Ia telah melalui beberapa perkembangan perlembagaan dan pembangunan politik yang turun-temurun dan akhirnya dikekalkan dalam Perlembagaan sekarang." Unsur-unsur ini ialah:

1)
 Kesultanan atau Pemerintahan Beraja
2) Agama Islam
3) Bahasa Melayu
4) Kedudukan istimewa orang Melayu

Pendahuluan untuk bab yang terakhir dalam buku ini menyimpulkan isi kandungan penulisan dan penerangan Mohd Salleh tentang topik ini dengan cukup jelas sekali:
"Unsur-unsur tradisi yang telah diterangkan di atas hampir-hampir selari dengan definasi 'Melayu' iaitu 'seorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.' Perlembagaan memperuntukkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, yang sebenarnya ialah agama orang Melayu. Perlembagaan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan bagi Persekutuan, yang juga merupakan bahasa orang Melayu. Dan terutamanya, Perlembagaan juga memperuntukkan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Persekutuan dan Ketua semua Negeri Melayu. Institusi pemerintahan beraja Melayu ialah asas adat istiadat Melayu. Maka dengan demikian dapat dikatakan bahawa unsur-unsur ini melambangkan satu ciri yang melaluinya Perlembagaan boleh dikenali."

Selepas saya membaca beberapa aspek daripada tiap-tiap satu unsur ini, saya lebih menghargai kenapa orang Melayu (terutamanya dari Semenanjung Malaysia) sangat bersemangat dan lantang bersuara tentang hak-hak dan keistimewaan mereka. Saya juga melihat betapa pentingnya unsur-unsur ini harus dikekalkan bagi menjaga kestabilan dan keamanan di Malaysia walaupun kurang bersetuju dengan bagaimana sesetengah pihak (lebih-lebih lagi ahli-ahli politik dan agama yang) mentafsirnya diluar konteks bagi menjaga kepentingan sendiri. Sebagai seorang bumiputera bukan Melayu dari Sarawak, saya menutup buku ini dengan satu persoalan:
Sejauh mana unsur-unsur ini mempengaruhi undang-undang di Sarawak sekarang?

Untuk membaca ulasan-usalan dan/atau ringkasan-ringkasan buku
 lain yang telah saya baca, KLIK DI SINI

#LeadersAreReaders #ServeToLead #PerlembagaanMalaysia #AgamaIslam #BahasaMalaysia #OrangMelayu #Kesultanan #LetsMakeReadingCoolAgain

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]