Tuesday, January 28, 2020

Coronavirus (nCoV-2019): Kenapa Ia Bahaya, Kenapa Jangan Cemas, Apa Respon Kita dan Nubuat Akhir Zaman


Apa Itu Coronavirus?

Nama Coronavirus berasal dari bahasa Latin ‘Corona’ dan Yunani ‘korṓnē’ yang bermaksud ‘crown’ mahkota atau ‘halo’ lingkaran cahaya. Ini kerana bentuk virus apabila dilihat dengan menggunakan mikrograf elektron seakan-akan seperti sfera yang dikelilingi oleh mahkota-mahkota yang berduri. Menurut para pakar World Health Organization (WHO), virus corona merupakan keluarga besar virus yang menyebabkan flu dan isu-isu pernafasan sehingga membawa kepada penyakit parah yang boleh membawa maut. Ia merupakan virus yang membawa penyakit zoonosis yang dibawa oleh haiwan-haiwan liar yang boleh merebak kepada manusia. Contoh-contoh virus corona yang kita tahu ialah MERS-CoV atau The Middle East Respiratory Syndrome, yang mula-mula dikenalpasti di Arab Saudi pada tahun 2012 (menurut laporan WHO pada 2019, sehingga 2016, 300-500 orang telah mati kerana MERS-CoV); dan SARS-CoV atau Severe Acute Respiratory Syndrome, yang dikenalpasti bermula di China pada tahun 2002 (dari tahun 2002-2003, ia telah meragut nyawa seramai 774 orang). Selain itu, ebola, denggi, influenza, HIV juga merupakan sejenis coronavirus.


Apa Itu Wuhan Coronavirus?

Wuhan coronavirus atau The Novel Coronavirus atau nama singkatannya (buat masa sekarang), nCoV-2019, merupakan virus yang serupa dengan virus-virus corona yang merbahaya yang kita pernah temui sebelum ini tetapi pada masa yang sama, ia mempunyai karakteristik-karakteristik yang misteri yang belum diketahui dengan jelas. Pendek kata, ia merupakan sejenis virus yang ‘baru.’ Laporan pertama tentang kes wabak flu (pada masa itu, ia belum dikenali sebagai nCoV-2019) ialah pada 31 Disember 2019 di Kota Wuhan, wilayah Hubei, China. Menurut WHO yang berpusat di China, pada 11hb dan 12hb Januari 2020 Suruhanjaya Kesihatan China mendakwa bahawa wabak ini berpunca dari haiwan-haiwan liar yang dijual di salah satu pasar seafood di Kota Wuhan, kemungkinan besar ialah di Huanan Seafood Market. Suspek utama ialah kelawar, ular dan berkemungkinan dari haiwan-haiwan eksotik yang lain yang biasa dimakan oleh penduduk China yang tinggal di kawasan itu. Akan tetapi, ramai orang yang mula-mula dijangkiti dengan virus ini didapati tidak pernah pergi ke pasar tersebut dan oleh itu, pihak berkuasa mendapati bahawa virus ini boleh disebar dari manusia ke manusia. Ada yang tidak menunjukkan gejala-gejala (ini bahaya! Tetapi belum disahkan lagi), ada yang sedikit dan ada yang parah dan terus maut, tetapi yang biasa ialah:

§  Demam kuat
§  Batuk berkahak (atau tidak)
§  Sukar bernafas atau kesesakkan nafas

Golongan yang berisiko tinggi ialah:

§  Orang-orang yang sudah tua atau berumur
§  Bayi dan anak-anak kecil
§  Orang yang mempunyai imuniti yang lemah
§  Mereka yang mempunyai masalah yang berkaitan dengan paru-paru dan penyakit-penyakit lain seperti diabetes, buah pinggang dan sebagainya


Apa Yang Menyebabkan nCoV-2019 Bahaya?

Menurut kajian dan bacaan saya di laman-laman web (terutamanya WHO) dan video-video berita di YouTube, setelah menilai kebarangkalian ia benar, saya mendapati bahawa:

#1 Banyak yang Kita Belum Tahu tentang Virus ‘Baru’ Ini. Kita tahu virus ini merupakan keluarga besar virus corona, tetapi ianya masih baru bagi kebanyakan para saintis (Zheng-Li Shi, dari Wuhan Institute of Virology, dan rakan-rakan penyelidikannya, didakwa pernah cuba untuk memberi amaran tentang virus ‘baru’ ini pada tahun 2005, beberapa tahun selepas SARS). Ia diklasifikasikan sebagai virus corona jenis baru. Oleh itu, belum ada vaksin yang boleh merawat jangkitan ini. Kita belum tahu samada ia lebih bahaya daripada SARS atau tidak kerana masa ini masih awal untuk menentukannya. Tindakan China ialah untuk mengkuarantinkan lebih kurang 11 juta penduduk Wuhan dengan menyekat jalan-jalan keluar-masuk, menghentikan kenderaan-kenderaan awam dan lapangan terbang, dan sebagainya. Ada berita mengatakan bahawa lebih kurang 5 juta orang sudah meninggalkan kota Wuhan sebelum ia dikurantin. Dengan populasi yang sebesar ini - kota yang ke-7 terbesar di China - pasti ada pembawa virus yang terlepas keluar!

#2 Penyebaran Maklumat tentang nCoV-2019 Ini Agak Lambat. Kenapa ini terjadi? Kerana kerajaan China hanya mengumumkan krisis ini lebih kurang seminggu (dua minggu?) selepas kes yang pertama (31hb Disember 2019) dilaporkan. Pada 12hb Januari 2020, beberapa hari selepas Tahun Baru Cina, China baru sahaja memberi urutan genetik nCoV-2019 kepada negara-negara lain untuk tindakan susulan. Kelambatan dan sikap yang suka berahsia ini menyebabkan ramai rakyat China dan seluruh dunia marah dengan tindakan mereka. Perkara ini bukan yang pertama kali berlaku kerana kerajaan China juga pernah pada mulanya merahsiakan maklumat kepada dunia apabila SARS melanda China pada November 2002. Tetapi sekarang, kerajaan China telah bertindak secara positif dan mulai bekerjasama dengan negara-negara antarabangsa.

#3 Reproduction Number (R0) atau Nombor Reproduksi yang Agak Tinggi. Atau, merebak dengan agak cepat. WHO menganggarkan bahawa skala reproduksi wabak nCoV-2019 boleh mencecah R0 1.4-2.5, yang bermaksud: satu orang (1) boleh menjangkiti 1.4 hingga 2.5 orang (Medrxiv pernah menganggarkan skala R0 3.8. Tetapi ini bergantung kepada keadaan dan boleh berubah dari masa ke semasa). Bayangkan jumlah penduduk dan kamu boleh membayangkan keluasan dan kecepatan ia merebak.

#4 Semasa Proses Replikasi, Ia Mungkin* akan Mengalami Mutasi. Apabila virus masuk ke dalam badan, ia akan memulakan proses replikasi. Semakin banyak, semakin teruk keadaan. Tetapi kita ada imuniti yang boleh menghalang atau mengawal proses ini. Bagi yang tahan dan selepas membuat rawatan, jika dijangkiti tidak akan membawa kepada maut (setakat ini hanya dalam 3% orang yang dijangkiti akan maut). Tetapi bagi virus corona yang berbahaya seperti nCoV-2019, apabila virus ini mulai bermutasi di dalam badan manusia, ia akan menyukarkan para saintis untuk membuat vaksin yang boleh menghalang ia daripada merebak dan sukar untuk dikawal. Kerajaan China telah mengumumkan bahawa nCoV-2019 mungkin (kebarangkalian yang tinggi) sedang bermutasi.

#5 Tempoh Mengenalpasti Samada Dijangkiti Mengambil Masa yang Agak Lama (berbanding dengan CoV yang lain). Tempoh untuk mengenalpasti gejala-gelaja SARC mengambil masa lebih kurang dari 2 ke 7 hari. Tetapi bagi nCoV-2019, ia dilaporkan mengambil masa maksimum dalam lebih kurang 14 hari sebelum tanda-tanda atau gejala-gejala mulai muncul! Dua kali ganda lamanya. Ini bermaksud, jika ada orang China yang telah dijangkiti dengan nCoV-2019 datang dari Wuhan ke Malaysia beberapa hari sebelum Kerajaan Malaysia mengumumkan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China, maka, apabila diperiksa di imegresen atau airport dengan menggunakan termometer untuk membaca suhu badan, dia mungkin didapati berada dalam keadaan normal… jadi dia terlepas masuk ke Malaysia! Ini yang membuatkan nCoV-2019 sangat bahaya kerana ia susah untuk dikesan dan mengambil masa yang lama untuk dikenalpasti.

#6 Kemungkinan Senjata Biologi (?). Ini masih suatu teori atau lebih tepat lagi, suatu kospirasi. Menurut laporan (sumber yang meragukan), Dany Shoham, seorang bekas perisik Israel, mengatakan bahawa China ada memiliki sebuah institut kajian iaitu Wuhan Institute of Virology yang berkemampuan untuk mencipta atau menghasilkan virus berbahaya seperti nCoV-2019 yang dikatakan untuk digunakan sebagai senjata biologi. Menurut Shoham lagi, hanya bahagian Wuhan Virology sahaja yang diakui oleh China sebagai kawasan P4 yang bermaksud Pathogen Level 4, status untuk standard keselamatan untuk mengelak daripada penyebaran mikroba berbahaya yang sedang dikaji. Apa yang menarik tentang teori ini ialah makmal keselamatan (biosafety lab) Wuhan Virology terletak hanya sejauh 20 batu dari Huanan Seafood Market (jarak ini perlu disahkan). Satu lagi teori menarik ialah virus ini telah disebarkan oleh negara lain, dimana suspek utama ialah Amerika Syarikat, untuk menghalang ekonomi China yang semakin berkembang. Kalau kamu ada membaca buku seperti Geoffrey Murray’s China: The Next Superpower (1998) dan Kai-Fu Lee’s AI Superpowers: China, Silicon Valley, and the New World Order (2018), kamu pasti sedar bahawa betapa cepat dan berkembangnya pengaruh China di seluruh dunia. Tetapi kita juga harus sedar bahawa China mempunyai hutang negara yang besar. Bagi setiap teori yang dikemukakan ada juga penjelasan yang baik. Percaya atau tidak? Itu terpulang kepada kamu. Yang pasti, dengan wabak nCoV-2019 ini, ekonomi China pasti terjejas. Sejauh mana? Saya tidak pasti.  
Berhati-hati apabila menyebarkan berita kerana banyak berita-berita palsu di social media ketika ini
 

Jangan Cemas: Cuba Melihat Melalui Perspektif Berbeza

Tidak perlu saya memberikan statistik dalam blog ini, yang pasti ialah jumlah kematian, orang yang sakit dan dijangkiti semakin meningkat. Jika dibandingkan dengan kes-kes virus corona yang lain, setakat ini, nCoV-2019 merebak dengan lebih cepat (begitu juga, maklumat palsu atau tidak sahih juga merebak dengan cepat). nCoV-2019 mungkin akan menjadi lebih bahaya… atau mungkin tidak. Kita tidak pasti. Walauapapun, kita harus berhati-hati. Pada masa yang sama juga, jangan cemas. Cuba melihat krisis ini dengan perspektif yang berbeza. Buat masa sekarang, kita tahu bahawa:

1) SARS pada tahun 2003 membunuh lebih kurang 10% daripada orang yang dijangkiti, tetapi nCoV-2019 (buat masa sekarang) hanya membunuh lebih kurang 3%

2) Ebola yang terjadi di Afrika Barat pada 2014 dikatakan telah membunuh hampir 90% orang yang dijangkiti

3) Jangan lupa dengan Rabies, walaupun ada vaksin, ia telah meragut 12 nyawa di Malaysia

4) Setakat pada 26hb Januari 2020, ada 4 kes yang positif nCoV-2019 di Malaysia yang sedang menerima rawatan dan kuarantin rapi. Menurut Astro Awani, setakat 17hb Januari 2020, kes Influenza di Petaling Perdana mencatat kes tertinggi iaitu 185 kes (Pernah dengar tentang kes Spanish flu Influenza? Itu sangat dahsyat!)

5) Pada 2018, Timbalan Menteri Kesihatan menyatakan bahawa ada 3,293 kes HIV di Malaysia telah direkodkan. Sejak HIV mulai direkodkan pada sekitar 1980an, telah dianggarkan bahawa hampir 36 juta orang telah mati akibat HIV

Saya tidak mengecil-kecilkan wabak nCoV-2019. Seperti saya katakan berulang kali, ia mungkin akan menjadi lebih bahaya… atau mungkin tidak. Virus-virus corona seperti SARS, MERS, Ebola, Rabies, Influenza, HIV, denggi dan sebagainya sama bahaya. Ada yang sudah ada vaksin, ada yang belum lagi. Kita pernah melaluinya dan kita akan merahunginya. Jangan cemas kerana ia tidak membantu, cuma, berjaga-jaga dan ambil tindakan sewajarnya.


Mengucap Syukur dan Berdoa Walaupun Bencana Ini Sudah Menjadi Global

Untuk mengetahui bagaimana untuk mencegah atau mengelak jangkitan virus ini, kamu boleh baca dari artikel-artikel di internet khususnya dari WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Mungkin kita patut mengambil masa ini untuk bersyukur kepada TUHAN untuk para doktor dan jururawat, pegawai-pegawai keselamatan, para saintis dan para ahli politik yang telah bertungkus-lumus mengawal keadaan dan mencari jalan penyelesaian. Ada juga yang terkorban dan terjangkit semasa bertugas. Kerana mereka, kita harus berterima kasih. Begitu juga dengan mereka yang terperangkap dan terdesak di sekitar kawasan yang terjejas. Untuk mengetahui pengalaman dan keadaan mereka, sila kunjungi YouTube video seperti South China Morning Post dan BBC News yang memaparkan kisah mereka yang terkandas di Wuhan dan wilayah Hubei. Berbelas-kasihan dan empati atas kejadian yang menimpa mereka yang dijangkiti. Ada masa untuk mencari kesalahan dan membawa pihak-pihak yang bersalah ke pengadilan, tetapi buat masa ini, kita harus bersimpati. Bagaimana:

Ø  Jangan menyebarkan maklumat-maklumat palsu tentang virus corona (jika ada maklumat yang salah dalam artikel ini, sila nyatakan kepada saya)

Ø  Jangan memperlekehkan negara China atau/dan menyebarkan meme-meme ‘lucu’ tentang coronavirus (contohnya “Coronavirus… made in China”). Bolehkah kita tidak menjadikan krisis serius ini sebagai jenaka?

Ø  Jangan memberi stereotaip anti-China dalam perbualan dan social media. Ini akan memberi tanggapan yang negatif kepada seluruh orang China yang sekarang ini sedang bersedih, marah dan rungsing. Kita juga harus sensetif kerana ada juga warga China yang tinggal di negara kita masa ini. Apabila memberi kenyataan, berhati-hati

Ø  Sentiasa mengikuti perkembangan terbaru dan membaca berita sebanyak yang mungkin sebelum memberi pendapat atau menulis komen

Ø  Tidak ada gunanya jika kita menulis “Let’s pray for China” tetapi tidak melakukannya. Jika kamu benar-benar terbeban untuk mendoakan China dan tentang wabak nCoV-2019, terus berdoa sendiri atau kumpulkan beberapa orang dan berdoa bersama. Jika tidak, adalah tindakan orang yang bijaksana untuk berdiam


Dari Nubuat-Nubuat tentang Akhir Zaman kepada Kamu!

Orang beragama kadang-kadang menjengkelkan! Setiap perkara mesti dikaitkan dengan nubuat-nubuat akhir zaman. Saya percaya dengan nubuat-nubuat akhir zaman terutamanya (hanya) yang ada di dalam Alkitab. Tetapi sesetengah orang menjadi sangat kritikal dan tidak sensitif bila menyatakannya. Seolah-olah nyawa manusia tidak lebih penting daripada mempertahankan kepercayaan agamanya. Kenyataan ini saya tujukan lebih-lebih lagi kepada orang Kristian dan orang Islam di Malaysia. Walaupun benar TUHAN menghukum orang yang berdosa, tetapi siapa kita untuk menilai orang berdasarkan standard baik-jahat kita sendiri dan memetik firman-firman sesuka hati? Dalam Alkitab, bila nabi-nabi bernubuat dan memberi amaran kepada umat-umat Allah, mereka tidak melakukannya seperti kebanyakkan kita yang bersikap sombong dan tinggi rohani. Mereka berfirman dengan air mata dan walaupun ada kalanya perkataan yang mereka gunakan agak keras, mereka menyatakannya dengan kerendahan hati dan ada integriti. Kita, saya perhatikan, terlalu bersikap menghakimi.

Bila virus HIV melanda, kita menuduh ini kerana budaya homoseksual berleluasa; bila virus H1N1 influenza merebak, kita menuduh orang yang suka makan babi penyebabnya; bila tsunami melanda Jepun, kita bersangka kerana cara hidup mereka yang berdosa. Ini mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi kenapa kita selalu menyalahkan ‘mereka’ dan tidak melihat diri kita sendiri? Adakah orang China lebih berdosa daripada kita? Adakah memakan haiwan-haiwan eksotik lebih teruk daripada kes-kes membuang bayi? Adakah negara komunis lebih jahat daripada negara Malaysia? Tentu sekali tidak! Kita sama-sama berdosa. Kenapa krisis ini terjadi di China dan bukan Malaysia, itu kita tidak tahu. Tetapi kenapa belum ada krisis yang besar seperti ini  melanda Malaysia ialah kerana kasih-kurnia TUHAN. Ini mesej TUHAN kepada kita semua - yang terselamat, yang masih hidup - bahawa: Jika kamu tidak bertaubat daripada dosa dan datang kepada TUHAN untuk keselamatan, kamu juga akan binasa!

Maut datang bila-bila masa sahaja. Jika bukan kerana nCoV-2019, mungkin kerana kemalangan. Mungkin esok, mungkin hari ini. Kematian itu pasti. Siapa sangka lagenda NBA, Kobe Bryant terkorban dalam nahas helikopter pada 26hb Januari 2020? Siapa kata kamu akan terselamat? Apabila orang memberitahu Yesus tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah, Yesus berkata:

Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikan juga. Bagaimana pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Yerusalem? Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga (Lukas 13:1-5; Respon? Kisah Para Rasul 2:37-39)

….…………………….

Rujukan utama:

§  Laman web World Health Organization (WHO) https://www.who.int/ 
§  Laman web Centers for Decease Control and Prevention (CDC) https://www.cdc.gov/ 
§  Podcast, YouTube video dan laman web Peak Prosperity oleh https://www.peakprosperity.com/ 
§  Berita-berita dan temubual dalam Science Weekly Podcast, The Signal Podcast, Today Explained Podcast, War Room: Pendemic Podcast, dan sebagainya

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]