Tuesday, January 14, 2020

Empat (4) Tanda Utama tentang Cult Allah Ibu & EBOOK PERCUMA


Google menterjemah ‘Cult’ sebagai ‘Kultus.’ Untuk buku ini, saya akan menggunakan ayat ‘cult’ (English) kerana maksud dan penggunaan ayat ini lebih mudah difahami berbanding dengan ‘kultus.’ Cult, dalam konteks Kristian, ialah “a religious group that denies one or more of the fundamentals of Biblical truth” atau “kumpulan yang beragama yang menyangkal satu atau lebih kebenaran asas Alkitab.” Bagi saya, cult ialah kumpulan mereka yang beragama, yang menyangka bahawa diri mereka ‘Kristian’ tetapi sebenarnya menolak ajaran asas Alkitab yang telah diturunkan dari gereja pertama oleh para rasul Kristus.

Dua ajaran [palsu] yang sangat biasa diajar oleh kumpulan cult ialah tentang Doktrin Keilahian Yesus Kristus (contoh, Yesus bukan Tuhan) dan Doktrin Keselamatan (contoh, keselamatan bukan melalui iman sahaja tetapi juga melalui perbuatan). Bagi saya, apa yang bahaya tentang cult ialah mereka menganggap bahawa diri mereka ‘Kristian’ sebenarnya tidak dan mereka telah terpesong jauh dari hubungan dan keselamatan melalui Yesus Kristus. Ada Empat (4) Tanda Utama tentang Cult:

#1 Ajaran Baru. Cult selalu berkata bahawa mereka telah menerima wahyu baru dari Allah atau Allah telah menunjukkan mereka ajaran baru, walaupun ianya jelas sekali bertentangan dengan ajaran Alkitab atau iman “yang telah dikurniakan Allah kepada orang salih-Nya cuma sekali untuk selama-lamanya” (Yudas 1:3). Mereka menambah (contoh, Hari Sabat dalam Perjanjian Lama diraikan) dan mengurangkan (contoh, Roh Kudus itu bukan TUHAN) ajaran yang sedia ada sejak dulu lagi.

#2 Ajaran Salah. Cult mengajar ajaran manusia, bukan Allah! ‘Kristus’ yang mereka ajar sangat berlainan dengan Kristus yang dinyatakan dalam Alkitab. Rasul Paulus memberi amaran kepada gereja di Korintus: “Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Yesus yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kita peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya” (2 Korintus 11:4). Kepada guru-guru palsu, Rasul Paulus berkata, “terlaknatlah orang itu!” (Galatia 1:8).

#3 Mengawal Para Pengikut. Para pemimpin cult suka mengawal para pengikut dengan paksaan, kecaman dan ugutan. Jika kamu tidak mengikut ajaran mereka, kamu sesat; jika kamu tidak melakukan apa yang diperintahkan mereka, kamu masuk neraka; jika kamu cuba mempersoalkan sesuatu, kamu sebenarnya dipengaruhi oleh iblis (kata mereka). Tidak dinafikan cult secara luaran seperti disatukan oleh kasih tetapi sebenarnya mereka lebih dikawal oleh rasa takut. Dikecam bahawa para pengikut mereka akan hilang keselamatan sekiranya pergi meninggalkan ‘gereja.’

#4 Banyak Berahsia. Agar sukar untuk kamu mendapat gambar-gambar aktiviti yang mereka jalankan di dalam ‘gereja.’ Kebanyakkannya mereka hanya berkongsi perkara yang dilakukan mereka di luar ‘gereja.’ Cult menganggap bahawa hanya ajaran mereka sahaja yang benar (atau paling benar). Oleh itu, mereka suka mengasingkan diri mereka dari orang lain yang berbeza dengan kepercayaan mereka. Mereka tidak digalakkan untuk bergaul dan bersama dengan orang Kristian kecuali untuk menginjili mereka. Kehidupan harian pemimpin tertinggi (atau para pemimpin) mereka dirahsiakan. Kebanyakkan pengikut-pengikut cult mengikut pemimpin yang mereka tidak kenal secara peribadi.

Berdasarkan 4 tanda utama tentang cult di atas, saya akan menerangkan kepada kamu kenapa ajaran tentang Allah Ibu dan Kristus yang telah datang semula oleh World Mission Society Church of God (WMSCG) adalah ajaran cult yang harus kita tolak! Baca, berfikir dan berdoalah supaya kamu tidak mengikuti ajaran mereka (Malah, saya berharap jika kamu sekarang sudah masuk dalam cult ini, masih belum terlambat untuk kamu meninggalkan ‘gereja’ ini dan kembali ke ajaran Kristian yang sebenar).


Untuk memuat turun ebook pdf PERCUMA tentang Berwaspada! Cult tentang Allah Ibu (2017), KLIK DI SINI > Cult Allah Ibu

FB Page: https://facebook.com/LEGASI.tv/

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]