Saturday, January 4, 2014

Panggilan Misi untuk Gereja and Individu: Hanya Satu Perintah yang Paling Penting


Apakah pekerjaan yang sangat penting buat masa sekarang? Ia ialah melakukan perintah Tuhan Yesus Kristus yang terakhir, iaitu mengkhabarkan Berita Baik atau Injil tentang Kristus kepada semua bangsa di seluruh dunia. Perintah ini, wahai kawan-kawanku, ialah yang sangat penting buat masa sekarang. “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia” (Markus 16:15, BM).

Melalui perintah ini – hanya melalui perintah inilah – kita harus menilai segala kerohanian kita. Segala pengetahuan Alkitab, segala doktrin-doktrin dan perdebatan atau perbincangan teologi haruslah berpusat kepada kehendak Allah dan perintah Yesus. Jika kita ialah seorang pengkaji Alkitab yang benar, jika segala ajaran yang kita pegang adalah Alkitabiah, kita akan meletakkan perkhabaran Berita Baik ke seluruh dunia sebagai yang terutama – kita akan pergi dan/atau memberi untuk misi. Segala aktiviti kerohanian, pelajaran Alkitab, doktrin gereja yang kita percaya tidak berguna (malah ia semua ialah hanya ilusi dan impian semata-mata) sekiranya kita tidak meletakkan perintah Yesus sebagai yang terutama.

Biarlah orang yang tidak mempunyai visi dan orang yang tidak tahu tentang rencana Tuhan memberi dan melakukan sesuatu untuk kalangan mereka sendiri sahaja. Orang yang tidak mempunyai (atau terlalu banyak) visi akan memberi di sana sedikit, di sini sedikit dan akhirnya tidak memberi impak kepada kehidupan rohani dia sendiri dan orang lain. Tetapi, bagi kita yang mempunyai visi Yesus dan telah mendengar panggilan-Nya harus terus fokus dan bertekad untuk membawa orang yang sesat dan yang belum mengenal Tuhan datang kepada-Nya. Marilah kita pergi dan/atau memberi sebahagian besar sumber yang kita ada untuk mentaati perintah-Nya yang paling penting buat masa sekarang, iaitu – mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus kepada semua bangsa di seluruh dunia.

Hanya Yesus Kristus ialah satu-satunya jalan penyelamatan dan kehidupan. “Tidak seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (Yohanes 14:6). Oleh itu, orang yang belum menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat bagi dosa mereka akan dihukum dan dibinasakan selama-lamanya ke dalam api neraka yang tidak pernah padam. Ketahuilah bahawa kita yang sudah diselamatkan mempunyai satu sukacita tanggungjawab yang besar! Firman Allah di dalam kitab Yehezkiel, “Aku menganggap engkau bertanggungjawab terhadap kematiannya” (3:18-19), akan menjadi nyata sekiranya kita hanya menyimpan dan tidak memberitakan Berita Baik ini. Kita harus meninggalkan banyak perkara yang kita anggap penting di gereja dan sebagai seorang Kristian dan mengutamakan perintah-Nya ini untuk masa sekarang – bagi generasi kita sekarang.

Wahai kawan-kawanku, saya ingin terus menyeru kamu dalam masa yang singkat ini, selagi saya masih hidup di dunia, agar kamu meninggalkan segala cita-cita dan impian duniawi dan menggantikan semuanya dengan cita-cita dan impian baru iaitu untuk terus membawa ramai lagi jiwa-jiwa bagi Kerajaan Allah. Tinggalkan hasrat untuk menjadi artis pujaan, pengkhutbah yang terkenal, mengingini kekayaan dunia, hidup yang selesa, bertubuh seksi dan berbadan sasa – ini semua hanya sementara. Pergilah dan/atau berilah untuk misi supaya perintah Yesus Kristus yang terakhir, iaitu mengkhabarkan Berita Baik kepada semua bangsa di seluruh dunia akan digenapi. Ini ialah satu-satunya perintah yang Yesus Kristus tinggalkan kepada Gereja-Nya di dunia ini. Adakah kita melakukannya?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]