Wednesday, December 19, 2012

Jangan Menghakimi Orang Lain

Janganlah menghakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu” (Matius 7:1-2).

Semasa saya masih bersekolah di SMK DPHAG Stampin Kuching dahulu, saya pernah menjadi wakil sekolah dalam sukan bola sepak. Jadi, saya tahu bagaimana perasaan seseorang itu apabila dimarahi oleh jurulatih kerana kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan semasa perlawanan atau semasa latihan. Itu perkara biasa bagi setiap pemain – kita patut ditegur apabila kita melakukan kesilapan.

Namun begitu, ada kalanya saya merasa marah atau tidak puas hati apabila jurulatih saya menjerit dan sering kali menggunakan kata-kata yang tidak baik apabila menegur saya dan rakan sepasukan yang lain secara terbuka di hadapan semua orang yang menonton perlawanan. Pada pendapat saya, adalah lebih baik jika dia menunggu waktu rehat atau selepas perlawanan barulah dia pergi menegur pemain-pemain secara peribadi dan memberi nasihat kepada pemain-pemain bagaimana untuk tidak mengulangi (atau mengelak) kesilapan itu lagi.

Secara jujur, memang tidak ada orang yang suka atau gembira apabila dikritik – walaupun kritikan itu bersifat membangun – namun begitu, kita kadang-kadang memerlukannya. Tetapi, alangkah baiknya jika kita menerima kritikan dengan lemah-lembut dan penuh dengan kasih-sayang berbanding dengan menggunakan kekerasan atau dengan cara yang menghina dan memalukan orang lain.

Untuk menghakimi orang lain ialah untuk mengkritik atau mencari salah seseorang itu tanpa berniat untuk melihat seseorang itu berjaya atau berubah kepada kebaikan. Untuk menegur seseorang dengan bersifat membangun (‘constructive criticism’) ialah dengan berniat untuk memupuk hubungan yang baik dan membantu seseorang itu untuk menjadi individu yang berjaya di hadapan Tuhan Allah. Sikap yang suka menghakimi orang lain dengan kritikan yang melampau langsung tidak membantu sesiapapun; tetapi, menegur orang dengan bersifat membangun dapat mengubah seseorang itu untuk menjadi insan yang lebih baik lagi.

Tuhan Yesus berFirman, “Jangan menghakimi orang lain”. Dia kemudiannya bertanyakan soalan ini kepada kita: “Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan?” (Matius 7:3). Apakah maksud Tuhan Yesus? Begini; kamu dan saya hanya layak menghakimi orang lain, sekiranya jika, kita dahulu menghakimi diri  kita sendiri.

Jadi, adakah kamu layak menghakimi orang lain?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]