Friday, February 1, 2013

Iman dan Perbuatan

Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!” (Yakobus 2:17)

Sejak dahulu lagi, jika kamu membaca sejarah gereja, ramai orang selalu berdebat mengenai doktrin tentang iman dan perbuatan. Yang mana satu harus didahulukan? Yang mana satu yang lebih berkenan di hadapan Tuhan Allah?  Jawapannya: kedua-duanya sangat penting bagi Tuhan.

Yesus Kristus tidak pernah membiarkan kita untuk memilih diantara iman atau perbuatan. Firman Allah mengajar kita bahawa perbuatan tanpa iman tidak bermakna bagi Tuhan, kerana kita tidak mungkin boleh mendapat penyelamatan dari dosa melalui pekerjaan kita sendiri. Ramai orang yang berbangga dengan perbuatan baik mereka seringkali berbicara tentang bagaimana mereka selalu membayar hutang tepat pada masanya, tidak pernah menipu sesiapa, sangat setia kepada suami atau isteri mereka, selalu memberi sedekah kepada orang miskin dan sebagainya. Akan tetapi Tuhan Allah di dalam Firman-Nya menganggap kebenaran kita sendiri, perbuatan baik yang datang dari diri kita sendiri adalah kotor dan seperti najis (Yesaya 64:6). Tidak ada perbuatan baik di dunia ini yang mampu mencapai standard ‘baik’ Allah.

Namun begitu, apabila kita sudah diselamatkan oleh Tuhan Allah melalui iman kita kepada Yesus Kristus, Dia mahukan kita – malah memerintah kita – supaya bukan sahaja menjadi pendengar Firman-Nya, tetapi juga melakukan Firman-Nya (Yakobus 1:22). Perbuatan, apabila dilakukan melalui iman kita kepada Yesus, akan menjadi sesuatu perkara yang indah dan memuliakan nama-Nya. Perbuatan baik [bagi yang sudah mengenal Yesus] bukanlah sesuatu perkara yang hanya dilakukan begitu sahaja tanpa makna; ia berfungsi untuk membuktikan bahawa kasih Tuhan ada pada kita dan dengan perbuatan, orang lain boleh mengalami dan melihat kasih-Nya dengan nyata. Melalui perbuatan baik kita, orang lain akan mudah tertarik dengan iman kita kepada Yesus.

Andaikan seorang saudara lelaki atau saudari perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. Tidak ada gunanya kamu berkata kepada kepadanya, ‘Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!’ – jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!” (Yakobus 2:15-17).

Tidak cukup dengan kita hanya mengatakan bahawa “Allah mengasihi kamu”, ia juga harus disertakan dengan perbuatan yang menunjukkan kasih itu. Beginilah caranya orang lain dapat melihat kasih Yesus di dalam hati kita. Begini juga orang lain dapat merasakan dan mengerti betapa besarnya kasih Bapa apabila Dia menghantar Anak-Nya ke dunia untuk mati bagi kita semua (Yohanes 3:16). Namun begitu, harus diingatkan bahawa ‘perbuatan’ tidak akan dapat menggantikan keperluan ‘iman’ dalam hal penyelamatan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak mahu ‘pemberitaan Berita Baik’ kepada semua orang – prasangka ini harus kita elak. Perbuatan tidak boleh dipisahkan dengan iman dan pemberitaan Berita Baik. Allah berFirman, “Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]